PENGAJIAN AM KERTAS 1 : KENEGARAAN

Kertas 1 meliputi Konsep Kenegaraan, Perlembagaan, Perlembagaan Malaysia, Sistem Pentadbiran Malaysia, Sistem Perundangan Malaysia, Sistem Kehakiman Malaysia, Dasar Dalam Negara, Dasar Luar Negara, Isu Semasa dan Penyelesaian Masalah.

Sunday, August 30, 2009

DASAR LUAR MALAYSIA : ASEAN

Persatuan Negara – Negara Asia Tenggara (ASEAN)

Hasrat Malaysia untuk berbaik – baik dan mengadakan kerjasama dengan negara – negara jiran tetap diteruskan walaupun dua buah pertubuhan yang dibentuk sebelum ini, iaitu ASA dan MAPHILINDO gagal dan tidak dapat bertahan lama. Usaha ini akhirnya berhasil dengan termeterainya Deklarasi Bangkok pada 8 Ogos 1967 yang membawa kepada penubuhan Persatuan Negara – Negara Asia Teenager atau lebih dikenali sebagai ASEAN. Antara matlamat pembentukan ASEAN termasuklah mengekalkan kestabilan politik di rantau Asia Tenggara, membantu antara satu sama lain dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan, meningkatkan taraf hidup penduduk melalui kerjasama dalam bidang pertanian, perdagangan dan perindustrian, memberikan kerjasama dan membantu dalam bentuk latihan dan penyelidikan serta mengadakan hubungan yang erat dengan persatuan atau pertubuhan serantau dan antarabangsa. Keanggotaan ASEAN pada ketika itu terdiri daripada lima buah negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura. Jumlah anggotanya bertambah menjadi sepuluh apabila kesemua negara di Asia Tenggara menjadi ahli. Negara – negara berkenaan ialah Vietnam, Myanmar, Brunei, Laos dan Kampuchea. Negara Papua New Guinea telah dilantik sebagai pemerhati kerana negara ini terletak bersempadan dengan Indonesia tetapi bukan dalam Zon Asia Tenggara.

Kerjasama antara negara anggota ASEAN semakin teguh hingga ke hari ini dan bagi memastikan perjalanannya yang lancar, struktur pentadbiran ASEAN dibentuk.

Peranan dan Sumbangan Malaysia dalam ASEAN

ASEAN dapat dilihat sebagai asas yang kuat dalam menjalinkan kerjasama serantau. Jika dilihat dari awal penubuhannya hingga kini, banyank rancangan yang berjaya dilaksanakan demi kebaikan bersama.

Dalam Mesyuarat Menteri – Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur pada bulan November 1971, satu deklarasi bersama telah ditandatangani oleh semua negara anggota yang dikenali sebagai Deklarasi Kuala Lumpur. Mereka sepakat mengisytiharkan negara – negara ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali atau lebih dikenali sebagai Zone of Peace, Free and Nuetrality (ZOPFAN). Tujuan utama penubuhan ZOPFAN adalah untuk mengekalkan keamanan dan kstabilan politik di rantau Asia Tenggara, tidak bersetongkol dengan mana – mana blok Barat atau blok Timur bagi mengelakkan campur tangan kuasa – kuasa besar.

Walau bagaimanapun, konsep ZOPFAN ini teruji apabila Vietnam menceroboh Kampuchea pada tahun 1978 dan menjatuhkan kerajaan Khmer Rouge. ASEAN telah berusaha untuk mengatasi masalah ini dengan mengadakan satu mesyuarat bagi membentuk kerajaan Demokratik Campuran Kampuchea di bawah pimpinan Putera Norodom Sihanouk. Vietnam telah bersetuju dengan cadangan berkenaan dan mesyuarat ini telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1982.

Dalam mesyuarat pada tahun 1984, Menteri – Menteri Luar ASEAN telah memutuskan bahawa ASEAN ialah Zon Bebas Senjata Nuklear. Ini bermakna rantau ini tidak akan membenarkan mana – mana kapal menggunakan perairan dan kemudahan pebuhannya untuk mengangkut bahan atau senjata nuclear. Pengisytiharan ini menunjukkan kepada dunia akan komitmen negara – negara anggota ASEAN terhadap konsep ZOPFAN.

Walaupun agenda utama ASEAN adalah ke arah integrasi ekonomi, namun, perkembangan kea rah kerjasama ekonomi ini agak perlahan. Negara – negara ASEAN telah membentuk kerjasama dalam projek – projek perindustrian contohnya projek baja urea di Bintulu (Sarawak) serta di Acheh (Indonesia). Kerjasama ekonomi ASEAN cuba difikirkan melaui zon Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN atau ASEAN Free Trade Area (AFTA) yang telah diumumkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura pada tahun 1992.

Malaysia juga telah mengemukakan idea melalui ASEAN untuk memperluas skop kerjasama ekonomi bagi rantau sebelah sini yang melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan. Idea ini yang telah dikemukakan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dinamakan Perundingan Ekonomi Asia Timur atau East Asian Economic Caucus (EAEC). Walau bagaimanapun, idea ini telah ditentang oleh negara – negara maju terutamanya Amerika Syarikat. Tetapi, usaha ini tidak dibiarkan begitu sahaja kerana kerjasama secar tidak rasmi tetap terus diadakan melalui konsep ASEAN + 3. Konsep ASEAN + 3 ini merujuk pada kerjasama yang ingin diwujudkan antara negara ASEAN dengan negara – negara timur iaitu China, Jepun dan Korea. Menteri – Menteri Luar negara – negara ini dijemput menghadiri siri perbincangan tentang kerjasama yang ingin diwujudkan.

Kerjasama dalam bidang pendidikan juga wujud dengan tertubuhnya Pertubuhan Menteri – Menteri Pelajaran ASEAN (SEAMEO) yang memberikan tumpuan ke arah kerjasama dalam semua bidang yang berkaitan. Contohnya, pembinaan Pusat Serantau untuk Sains dan Matematik (RECSAM) di Pulau Pinang, Malaysia.

Kerjasama lain yang dibuat atas semangat kerjasama ASEAN adalah dalam bidang kebudayaan dan sosial seperti mengadakan festival kebudayaan dan kesenian dengan menubuhkan Tabung Kebudayaan ASEAN. Selain itu, pertukaran rancangan televisyen dan radio dijalankan. Sukan SEA juga diadakan untuk merapatkan hubungan antara negara melalui semangat kesukanan. Dalam bidang pelancongan kerjasama dijalinkan dengan mengadakan Tahun Melawat ASEAN pada tahun 1992.

Malaysia telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan kerjasama serantau melalui dasar berbaik – baik dengan negara jiran. Ini jelas kelihatan melalui peranan Malaysia dalam pertubuhan ASA, MAPHILINDO dan ASEAN.

DASAR LUAR MALAYSIA : MAPHILINDO

MALAYSIA, FILIPINA dan INDONESIA (MAPHILINDO)

MAPHILINDO merupakan cantuman nama tiga buah negara iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia. Tujuan utama penubuhnnya adalah untuk meningkatkan perhubungan persahabatan dan menyelesaikan pertelingkahan antara Malaysia – Filipina dan Malaysia – Indonesia.

Pertelingkahan yang timbul antara Malaysia dengan kedua – dua negara tersebut adalah disebabkan oleh cadangan pembentukan Malaysia. Indonesia tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia kerana Presiden Soekarno menganggap pembentukan Malaysia sebagai satu neokolonalisme atau penjajahan bentuk baru. Tentangan Filipina pula adalah kerana negara tersebut menuntut Sabah yang didakwanya masih menjadi hak milik negara mereka.

Bagi menyelesaikan pertelingkahan ini, Malaysia telah mengambil langkah rundingan dengan Filipina dan Indonesia. Rundingan ini akhirnya membawa kepada penubuhan MAPHILINDO. Ketiga – tiga negara ini telah mencapai kata sepakat memohon bantuan PBB untuk mendapatkan pandangan rakyat Sarawak dan Sabah tentang cadangan penubuhan persekutuan Malaysia. PBB telah menghantar perwakilannya pada tahun 1963 yang diketuai oleh Lawrence V. Michael More untuk meninjau rakyat di kedua – dua negeri berkenaan. Hasilnya, majority rakyat di kedua – dua negeri bersetuju dan menyokong pembentukan Malaysia. Sungguhpun begitu, Indonesia dan Filipina kurang berpuas hati dengan siasatan PBB dan terus menentang pembentukan Malaysia. Persengkataan yang berterusan ini menyebabkan MAPHILINDO telah tidak berperanan lagi.

DASAR LUAR MALAYSIA : Persatuan Negara-Ngara Asia Tenggara (ASA)

MALAYSIA DALAM PERTUBUHAN SERANTAU

Pertubuhan serantau merupakan satu pertubuhan yang keanggotaannya terdiri daripada negara – negara yang berjiran antara satu sama lain. Pembentukan pertubuhan ini adalah untuk kepentingan politik, ekonomi atau sosial.

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat tiga pertubuhan serantau yang telah dibentuk dan disertainya iaitu ASA pada tahun 1961, MAPHILINDO pada tahun 1963 dan ASEAN pada tahun 1967.

Persatuan Negara – Negara Asia Tenggara (ASA)

Setelah mencapai kemerdekaan, negara kita dan juga negara – negara serantau diancam hebat oleh pengaruh komunis. Di Malaysia, pergerakan PKM telah memainkan peranan penting menyebarkan pengaruh fahaman komunis di kalangan rakyat. PKM telah diharamkan oleh kerajaan dan ini menyebabkan ahli – ahlinya melancarkan gerakan gerila bagi menjatuhkan kerajaan.

Di negara – negara jiran, ancaman komunis juga hebat terutamanya di Thailand yang bersempadan dengan Malaysia. PKM telah menggunakan sempadan Malaysia – Thailand sebagai pangkalan gerakan gerila mereka dan ini menyukarkan usaha kedua – dua negara untuk melemahkan dan seterusnya menghapuskan gerakan komunis. Begitu juga dengan negara Filipina yang turut diancam oleh pengaruh komunis.

Malaysia ingin mengadakan kerjasama dengan negara – negara jiran agar dapat membendung pengaruh dan gerakan PKM. Oleh itu, Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan penubuhan ASA. Pertubuhan ini diharapkan dapat melindungi negara – negara anggota daripada ancaman komunis dan juga menjalinkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan sosial.

Pada 31 Julai 1961, satu mesyuarat diadakan di Bangkok antara Malaysia dengan Thailand dan Filipina, hasilnya ASA telah ditubuhkan. Antara matlamat ASA yang digalurkan semasa penubuhannya termasuklah:

Menjalinkan kerjasama di kalangan negara anggota dalam bidang ekonomi, sains dan sosial.
Memberikan dan menyediakan kemudahan latihan dan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi di kalangan negara anggota.
Mengekalkan serta menjamin keselamatan dan kestabilan politik negara – negara serantau.

Walau bagaimanapun, matlamat tersebut tidak banyak dicapai kerana keadaan kerjasama yang erat. ASA juga dianggap sebagai pertubuhan antipemerintahan Presiden Soekarno di Indonesia. Kesangsian ini timbul kerana Malaysia mempunyai perjanjian ketenteraan dengan Amerika Syarikat. Pertelingkahan antara Malaysia dengan Filipina tentang penubuhan persekutuan Malaysia telah membawa kepada pembubaran ASA pada tahun 1963.

DASAR LUAR MALAYSIA : OIC

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)

OIC yang beribu pejabat di Jeddah, Arab Saudi, ditubuhkan pada tahun 1971 daripada idea Tunku Abdul Rahman. Semasa ditubuhkan, ahlinya terdiri daripada 57 buah negara dengan tiga buah negara lagi sebagai pemerhati. Matlamat utama penubuhannya adalah untuk mengeratkan hubungan sesama negara Islam dalam segala bidang dan bersuara dalam satu nada bagi kepentingan umat Islam. Matlamatnya juga adalah untuk mengekalkan perdamaian dalam segala persengketaan antara negara Islam serta bersama-sama memastikan tempat-tempat suci Islam dihormati dan tidak dicemari.

Pertubuhan ini banyak memberikan bantuan kepada negara-negara Islam yang mengahadapi masalah seperti menghantar pasukan perubatan ke Lubnan, Bosnia dan Afghanistan. Bantuan dalam bentuk kewangan juga diberikan kepada negara-negara Islam yang maju seperti Sudan, Nigeria dan Chad. OIC juga telah menubuhkan Bank Pembangunan Islam bagi memberikan perkhidmatan kewangan kepada negara anggota.

Malaysia telah memainkan peranan penting dalam pertubuhan ini apabila Tunku Abdul Rahman diberikan penghormatan untuk menjadi Setiausaha Agung OIC yang pertama. Malaysia telah menjadi perantara dalam menyelesaikan peperangan Iran – Iraq. Di samping itu, Malaysia juga memberikan sokongan kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan semula tanah air mereka daripada Israel.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Persidangan OIC pada tahun 1974 dan 2003, di samping menganjurkan persidangan menentang pengganas di kalangan negara Islam pada tahun 2002. Tawaran biasiswa juga diberikan kepada para pelajar dari negara OIC untuk belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Malaysia juga telah mengesyorkan penggunaan dinar emas di kalangan negara Islam untuk urusan perdagangan dan kegiatan ekonomi yang lain.

Sebagai negara anggota OIC, Malaysia juga telah medapat faedah berupa pinjaman daripada Bank Pembangunan Islam bagi melaksanakan projek – projek pembangunan untuk kepentingan rakyat. OIC juga telah memberikan bantuan kepada Malaysia untuk menubuhkan UIAM. Selain itu, Malaysia telah mendapat penghormatan daripada negara anggota yang lain kerana amat serius dalam memperjuangkan hak dan kebajikan negara – negara Islam.

Dasar Luar Malaysia yang mengutamakan kesejahteraan dan keamanan serantau dunia telah meninggalkan kesan positif kepada Malaysia. Ketokohan para pemimpin Malaysia jelas terbayang melalui dasar luar yang diamalkan. Dasar luar yang dinamik ini perlu agar Malaysia juga harus mampu menangani cabaran ini dengan mengadakan perubahan yang pesat dan pantas di dalam negeri melalui dasar negara yang inovatif agar terus dapat bersaing pada peringkat antarabangsa.

DASAR LUAR MALAYSIA : Negara-Negara Selatan

Negara – Negara Selatan

Negara – Negara Selatan juga dikenali sebagai Negara – Negara Dunia Ketiga. Negara – negara ini mempunyai banyak persamaan dari segi latar belakang ekonominya dan pernah dijajah oleh kuasa Barat. Negara ini masih bergantung kepada negara maju dalam pemasaran bahan mentah. Pergantungan kepada negara – negara maju adalah kerana Negara – Negara Selatan tidak mempunyai kepakaran dan modal untuk memproses bahan mentah menjadi barangan siap. Pergantungan ini membawa kepada syarat perdagangan yang tidak adil seperti kawalan terhadap harga bahan mentah dan pengenaan kadar faedah yang tinggi terhadap pinjaman yang diberikan. Oleh itu, matlamat kumpulan ini adalah untuk mengatasi harga eksport bahan – bahan mentah dan meningkatkan kerjasama ekonomi dan teknikal di kalangan negara anggota tanpa bergantung kepada negara – negara maju.

Malaysia memainkan peranan penting dalam menubuhkan Suruhanjaya Selatan – Selatan kerana idea penubuhannya dating daripada Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa Sidang Kemuncak NAM di Zimbabwe pada tahun 1987. strateginya adalah dengan menubuhkan Kumpulan 15 atau G15 pada tahun 1989. Sidang kemuncak G15 yang pertama telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1990.

Antara projek yang dirancang termasuklah kerjasama dalam bidang sains dan teknologi serta penubuhan Pusat Pertukaran Data Pelaburan Perdagangan dan Teknologi Selatan atau South Investment, Trade and Technology Data Exchange Center (SITTDEC) di Kuala Lumpur, penubuhan Sistem Kewangan Perdagangan Global atau Global System of Trade Preference (GSTP) dan juga penubuhan kemudahan kredit dan mekanisme kewangan pembiayaan perdagangan.

DASAR LUAR MALAYSIA : NAM

Pergerakan Negara – Negara Berkecuali (NAM)

NAM telah ditubuhkan pada bulan September 1961 semasa kemuncak Perang Dingin. Ahlinya merupakan negara-negara membangun di Asia, Afrika dan Amerika Selatan. Anggotanya terdiri daripada 113 buah negara, manakala 16 buah negara sebagai pemerhati dan 28 buah negara merupakan tetamu jemputan.

Matlamat utama penubuhannya adalah untuk mengekalkan keamanan dunia tanpa menyokong blok Barat atau blok komunis. Malaysia telah menganggotai pertubuhan ini pada tahun 1970, iaitu selepas berlakunya pertukaran Dasar Luar Malaysia daripada dasar pro-Barat dan antikomunis kepada dasar berbaik-baik dengan semua negara.

Prinsip perjuangan NAM adalah mengelakkan campur tangan asing dalam hal ehwal sesebuah negara, menyelesaikan sebarang pertelingkahan antara negara melalui perundingan dan persefahaman serta menghormati hak asasi manusia. Dalam Sidang Kemuncak Ketujuh di New Delhi pada tahun 1987, Malaysia telah membuat beberapa usul bagi membela kepentingan negara-negara yang sedang membangun. Anataranya termasuklah isu Palestin, kerjasama ekonomi dan isu Benua Antartika. Dalam Sidang Kemuncak Kelapan di Harare (Zimbabwe), Malaysia telah menegmukakan cadangan bagi menghapuskan dasar apartheid di Afrika Selatan. Pada tahun 1989, Malaysia telah diberikan penghormatan apabila dipilih sebagai Naib Presiden dalam Sidang Kemuncak NAM di Belgrade, Yugoslavia. Malaysia juga telah dilantik sebagaih ahli Kumpulan 16 yang membincangkan isu kerjasama politik negara anggota. Di samping itu, Malaysia juga telah berjaya menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak NAM yang ke – 13 pada tahun 2003. siding kemuncak ini mencatatkan penyertaan tertinggi dengan kehadiran 63 negara ahli, iaitu Timur Leste dan Pulau Catalina. Pada masa yang sama, sidang ini berjaya menganjurkan satu mesyuarat tidak rasmi OIC. Deklarasi Kuala Lumpur menekankan usaha menghidupkan kembali NAM dan pernyataan bersama telah dikeluarkan tentang kedudukan Palestin dan serangan Amerika Syarikat terhadap Iraq.

DASAR LUAR MALAYSIA : PBB

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

PBB telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1945, iaitu selepas Perang Dunia Kedua apabila Liga Bangsa dibubarkan setelah gagal menghalang berlakunya Perang Dunia Kedua. Ibu pejabat asalnya di San Francisco tetapi pada tahun 1946 berpindah ke New York. Pada awal penubuhannya, PBB dianggotai oleh 51 buah negara sahaja tetapi sehingga tahun 2002 keanggotaanya meningkat kepada 189 buah negara. Malaysia telah menjadi ahli PBB pada tahun 1957, setelah negara kita mencapai kemerdekaan.

Negara anggota PBB harus akur dengan Piagam PBB, iaitu satu perjanjian antarabangsa yang menggalurkan prinsip-prinsip asas hubungan antarabangsa. Terdapat empat matlamat Piagam PBB. Pertama, menjamin keamanan dan keselamatan dunia. Kedua, menggalakkan hubungan berbaik-baik antara negara anggota. Ketiga, berkerjasama dalam menyelesaikan masalah antarabangsa dan melindungi hak asasi manusia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Keempat, menjadi pusat bagi mengharmonikan tindakan negara-negara anggota.

Malaysia telah memainkan peranan penting dalam PBB semasa membantu menyelesaikan konflik antarabangsa. Sejak tahun 1960, Malaysia telah dipilih untuk menyertai pasukan pendamai di bawah panji-panji PBB untuk menamatkan perang saudara di Congo (kini dikenali sebagai Zaire). Pada tahun 1989, sekali lagi Malaysia dipilih untuk mewakili pasukan pengamanan PBB ke Namibia bagi membantu negara itu mncapai kemerdekaan. Pada tahun 1990-an, Malaysia telah menghantar pasukan pemerhati ke sempadan Iran – Iraq dan Kampuchea serta menghantar pasukan pengamanan ke Bosnia.

Malaysia juga lantang bersuara di PBB menentang dasar apartheid di Afrika Selatan. Negara kita juga menyarankan agar Benua Antartika menjadi warisan dunia yang diletakkan di bawah hak milik atau kuasa semua negara.

Dari segi ekonomi, Malaysia juga menjadi ahli Bank Dunia, iaitu bank antarabangsa yang ditubuhkan oleh PBB pada bulan Disember 1945. Matlamat penubuhan Bank Dunia ini adalah untuk membantu negara-negara ahli yang sedang membangun terutama dari segi kewangan dalam menyusun semula dan membangunkan ekonomi negara-negara tersebut. Malaysia sebagai ahli memperoleh faedah dari segi kemasukan pelabur-pelabur asing dan ini diharapkan dapat membasmi kemiskinan di luar bandar selain menyediakan peluang pekerjaan. Malaysia telah menggunakan bantuan daripada Bank Dunia untuk menjayakan rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan membangunkan prasarana pendidikan dan penyelidikan.

Malaysia juga mengambil pendirian teguh terhadap usaha-usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah. Hasil daripada usul Malaysia, satu persidangan antarabangsa diadakan di Vienna (Austria) pada bulan Jun 1987 dan Perdana Menteri Malaysia telah menjadi Yang Dipertua persidangan tersebut. Di samping itu, Malaysia juga telah bekerjasama dan menyertai beberapa agensi di bawah PBB. Contohnya, kerjasama dalam bidang pengeluaran makanan di bawah agensi Pertubuhan Makanan dan Pertanian atau Food and Algricultur Organization (FAO), kerjasama dalam bidang kesihatan dan perubatan di bawah Pertubuhan Kesihatan Dunia atau World Health Organization (WHO), dan juga kerjasama dalam bidang sains dan teknologi di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations for Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

Malaysia juga pernah dipilih menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1965, 1989 dan 1999. wakl Malaysia ke PBB, Tan Sri Razali Ismail menjadi Pengerusi Perhimpunan Agung PBB dan beliau dilantik sebagai wakil khas PBB untuk menyelesaikan konflik politik negara Myanmar. Malaysia juga berpendirian tegas dalam mendesak PBB menjalankan usaha menyelesaikan masalah Palestin dengan menganjurkan Persidangan Antarabangsa tentang Palestin di Kuala Lumpur.

DASAR LUAR MALAYSIA : Komanwel

KOMANWEL

Pertubuhan ini telah dibentuk pada tahun 1931 dan anggotanya terdiri daripada negara bekas jajahan Britain yang telah merdeka. Keanggotaannya terdiri daripada 54 buah negara maju dan juga negara sedang membangun. Sekretariat Komanwel telah ditubuhkan pada tahun 1965 dan beribu pejabat di London.

Matlamat penubuhan Komanwel adalah untuk membina semangat setia kawan di kalangan negara anggota dan mewujudkan kerjasama dalam segala bidang. Selepas mencapai kemerdekaan, negara-negara Komanwel telah membantu Malaysia memelihara keamanan dan kedaulatan negara dalam bentuk meneykat perjuangan Parti Komunis Malaya. Perjanjian pertahanan antara Malaysia dengan Britain, Australia dan New Zealand juga menjanjikan bantuan daripada mereka sekiranya Malaysia diserang oleh mana-mana pihak semasa Malaysia berkonfrontasi dengan Indonesia.

Sebagai negara anggota Komanwel, Malaysia telah mendapat banyak faedah, antaranya termasuklah kerjasama pertahanan. Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel atau Commonwealth Head of Governments Meeting (CHOGM) diadakan di kalangan negara anggota setiap dua tahun. Mesyuarat ini menyediakan ruang bagi pertemuan ketua-ketua kerajaan untuk membincangkan hal-hal kepentingan bersama. Mesyuarat CHOGM di Malaysia pada tahun 1989 telah mengisytiharkan Deklarasi Langkawi. Malaysia juga dengan lantang bersuara menentang dasar apartheid di Afrika Selatan yang menyalahgunakan hak asasi manusia. Begitu juga dari segi perdagangan, eksport Malaysia ke negara-negara Komanwel terutamanya Britain dikenakan cukai yang rendah. Namun, keistimewaan ini telah dihakis selepas Britain menjadi anggota pertubuhan Kesatuan Eropah (EU). Rancangan Colombo pula menyediakan bantuan teknikal dan biasiswa dalam bidang pendidikan. Dalam bidang sukan, Malaysia telah berjaya menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998

DASAR LUAR MALAYSIA : Pengiktirafan Dunia

Analisis penglibatan Malaysia di arena antarabangsa dalam bidang ekonomi, politik dan isu alam sekitar yang telah mendapat pengiktirafan dunia.

Bidang Ekonomi

Bidang ekonomi memperlihatkan pergantungan Malaysia kepada Britain dalam menjaga kepentingan ekonomi negara ini. Pertama, hal ini disebabkan Malaysia merupakan anggota blok sterling yang menjalankan urusan perdagangan dalam nilai mata wang paun sterling. Kedua, Malaysia masih memberikan tumpuan kepada dua hasil utamanya, iaitu bijih timah dan getah dengan mengharapkan sepenuhnya permintaan daripada negara Barat termasuk Britain. Ketiga, pelabur Britain masih menguasai peratus yang besar dalam ekonomi Malaysia terutama dalam bidang perladangan dan perindustrian.

Bagi mengurangkan pergantungan ini, Malaysia yang mengamalkan pasaran bebas mula membina rangkaian perdagangan dengan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Singapura dan Jerman Barat bagi mengurangkan pergantungan kepada Britain dan bagi mencari pasaran baru.

Bidang Politik

Bidang politik merujuk kepada ancaman komunis di negara-negara Asia Tenggara dan juga di dalam negara melalui Parti Komunis Malaya. Oleh itu, Malaysia memerlukan bantuan pertahanan daripada negara-negara Komanwel terutama Britain, Australia dan New Zealand.

Bagi meneykat perkembangan pengaruh komunis, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Pertahanan Inggeris-Tanah Melayu atau Anglo-Malayan Defence Treaty (AMDA) pada tahun 1956. Mengikut perjanjian ini pihak British akan memberikan bantuan kepada Malaysia sekiranya diserang oleh mana-mana negara.

Di samping itu, dasar luar Malaysia juga adalah berbaik-baik dengan negara jiran. Hal ini disebabkan timbulnya krisis dengan negara jiran terutamanya selepas Malaysia mencapai kemerdekaan seperti konfrontasi dengan Indonesia (1963-1965), terputusnya hubungan dengan Filipina (1963-1965) dan keluarnya Singapura daripada Malaysia (1965). Usaha-usaha untuk memelihara hubungan dengan negara jiran terbukti melalui beberapa perjanjian menubuhkan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASA) pada tahun 1961 bersama-sama Thailand dan Filipina, MAPHILINDO pada tahun 1962 bersama-sama Indonesia dan Filipina serta ASEAN pada tahun 1967 bersama-sama Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.

Bidang Isu Alam Sekitar

Bidang isu alam sekitar merujuk kepada penyertaan Malaysia dalam beberapa pertubuhan antarabangsa dan bergiat secara aktif seperti dalam Komanwel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Kumpulan Selatan-Selatan dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

DASAR LUAR MALAYSIA : Perkembangan Tahap 3

PERKEMBANGAN DASAR LUAR MALAYSIA

Tahap Ketiga

Dasar luar Malaysia pada tahap ini telah mengekalkan dasar-dasar tahap kedua tetapi memberikan penekanan kepada kepentingan ekonomi. Keepntingan ini adalah berkaitan dengan isu-isu perdagangan, pelaburan dan pembangunan terutama di kalangan negara membangun. Dalam usaha mencapai matlamat dasar tersebut, Malaysia telah mengadakan hubungan yang lebih erat dengan negara-negara ASEAN seperti menyelesaikan krisis Vietnam dan Kampuchea.

Di samping itu, Dasar Pandang ke Timur telah diperkenalkan pada tahun 1982 dengan menggunakan Jepun dan Korea Selatan sebagai model bagi membangunkan negara Malaysia. Dasar ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil dan menerima pakai nilai-nilai yang baik seperti semangat mencintai negara, kesungguhan dalam pekerjaan dan etika pengurusan kerja yang baik.

Malaysia juga telah mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara-negara lain menerusi lawatan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad ke negara Afrika, Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan. Dalam setiap siri lawatannya, misi perdagangan Malaysia akan turut serta dan menandatangani perjanjian perdagangan dua hala yang menguntungkan kedua-dua belah pihak. Beliau percaya Malaysia bukan sahaja harus menjalin hubungan politik dan perdagangan dengan negara maju malah dengan negara Dunia Ketiga juga.

Berdasarkan tiga tahap berkenaan, didapati dasar luar Malaysia berubah daripada dasar pro-Barat kepada dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara, serta memberikan penekanan kepada hubungan dua hala yang dapat memantapkan ekonomi negara.

DASAR LUAR MALAYSIA : Perkembangan Tahap 2

PERKEMBANGAN DASAR LUAR MALAYSIA

Tahap Kedua

Menjelang tahun 1970-an dasar luar Malaysia mula berubah kepada dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara. Perubahan dasar luar ini disebabkan kurangnya peranan yang dimainkan oleh AMDA dan kurangnya pengaruh Britain di Timur. Perubahan dasar ini juga disebabkan oleh pergolakan yang berlaku di Vietnam yang melibatkan dua kuasa besar, iaitu Amerika Syarikat dan China.
Dalam mencapai matlamat dasar luar Malaysia, beberapa usaha telah dilakukan seperti mengisytiharkan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali atau Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) bersama-sama dengan anggota negara ASEAN. Malaysia juga telah menjalin hubungan diplomatic dengan negara berfahaman komunis seperti China, Jerman Timur, Korea Utara, Vietnam Utara dan Mongolia.

Keinginan Malaysia menjalin persahabatan dengan semua negara khususnya dengan negara jiran jelas dapat dilihat apabila Malaysia mengadakan hubungan diplomatic dengan Vietnam pada tahun 1967. Masalah pelarian Vietnam di Malaysia dapat diatasi dengan kerjasama negara-negara jiran.

DASAR LUAR MALAYSIA : Perkembangan Tahap 1

PERKEMBANGAN DASAR LUAR MALAYSIA

Sejak mencapai kemerdekaan, dasar luar Malaysia sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan perkembangan dunia. Dalam menentukan dasar luar negara, perkembangan semasa memainkan peranan penting. Pengaruh komunis yang begitu kuat dan perkembangan dunia yang sedang menghadapi era Perang Dingin merupakan faktor yang perlu diambil kira.

Perkembangan dasar luar Malaysia dapat dibahagikan kepada 3 tahap seperti yang berikut:
Tahap Pertama -Tunku Abdul Rahman (1957-1970)
Tahap Kedua - Tun Abdul Razak (1972-1976) &
Tun Hussein Onn (1976-1981)
Tahap Ketiga - Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (1981-2003)

Tahap Pertama
Dasar luar Malaysia pada tahap pertama memeperlihatkan dasar pro-Barat yang antikomunis serta dasar berbaik-baik dengan negara jiran dan Komanwel. Dasar luar berkenaan dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman disebabkan faktor politik, ekonomi dan alam sekitar. Ancaman komunis di negara-negara Asia Tenggara dan juga di dalam negara melalui Parti Komunis Malaya. Oleh itu, Malaysia memerlukan bantuan pertahanan daripada negara-negara Komanwel terutama Britain, Australia dan New Zealand.

Bagi meneykat perkembangan pengaruh komunis, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Pertahanan Inggeris-Tanah Melayu atau Anglo-Malayan Defence Treaty (AMDA) pada tahun 1956. Mengikut perjanjian ini pihak British akan memberikan bantuan kepada Malaysia sekiranya diserang oleh mana-mana negara.

Di samping itu, dasar luar Malaysia juga adalah berbaik-baik dengan negara jiran. Hal ini disebabkan timbulnya krisis dengan negara jiran terutamanya selepas Malaysia mencapai kemerdekaan seperti konfrontasi dengan Indonesia (1963-1965), terputusnya hubungan dengan Filipina (1963-1965) dan keluarnya Singapura daripada Malaysia (1965). Usaha-usaha untuk memelihara hubungan dengan negara jiran terbukti melalui beberapa perjanjian menubuhkan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASA) pada tahun 1961 bersama-sama Thailand dan Filipina, MAPHILINDO pada tahun 1962 bersama-sama Indonesia dan Filipina serta ASEAN pada tahun 1967 bersama-sama Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.
Pergantungan Malaysia kepada Britain dalam menjaga kepentingan ekonomi negara ini. Malaysia merupakan anggota blok sterling yang menjalankan urusan perdagangan dalam nilai mata wang paun sterling. Malaysia masih memberikan tumpuan kepada dua hasil utamanya, iaitu bijih timah dan getah dengan mengharapkan sepenuhnya permintaan daripada negara Barat termasuk Britain. Pelabur Britain masih menguasai peratus yang besar dalam ekonomi Malaysia terutama dalam bidang perladangan dan perindustrian.

Bagi mengurangkan pergantungan ini, Malaysia yang mengamalkan pasaran bebas mula membina rangkaian perdagangan dengan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Singapura dan Jerman Barat bagi mengurangkan pergantungan kepada Britain dan bagi mencari pasaran baru.

DASAR LUAR MALAYSIA : Faktor Pertimbangan Pembentukan

FAKTOR-FAKTOR PERTIMBANGAN PEMBENTUKAN DASAR LUAR MALAYSIA

Pembentukan dasar luar Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor yang menentukan corak dan arah dasar luar negara. Faktor-faktor berkenaan ialah sejarah, ekonomi, politik, geografi dan demografi.

FAKTOR SEJARAH

Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka telah terjalin hubungan dengan negara luar seperti China, Arab, Siam dan juga negeri-negeri di Kepulauan Melayu. Hubungan luar ini lebih berbentuk hubungan perdagangan. Pada masa ini telah terjalin hubungan Melayu serumpun di Kepulauan Melayu termasuklah negara-negara yang ada pada hari ini dikenali sebagai Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia menyertai pertubuhan Komanwel dan meneruskan hubungan diplomatic dengan Britain dan negara Komanwel lain seperti Australia dan New Zealand. Pada masa itu, Malaysia sedang diancam oleh fahaman komunis yang disebarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ancaman komunis ini menggugat keselamatan negara Malaysia dan dengan ini mendorong Malaysia mengamalkan dasar luar yang pro-Barat dan antikomunis. Pada masa yang sama, Malaysia masih bergantung kepada kuasa Barat kerana Malaysia belum mempunyai keupayaan pertahanan.

FAKTOR EKONOMI

Malaysia merupakan negara yang mengamalkan pasaran bebas dan dengan ini menjalin hubungan baik dengan negara-negara lain di dunia dalam usaha memajukan ekonominya. Sejak zaman penjajahan British lagi, Malaysia merupakan antara negara pengeluar utama bijih timah dan getah. Pada masa ini telah terjalin hubungan ekonomi antara Malaysia dengan negara-negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia masih mengharapkan pasaran dan juga modal dari negara-negara tersebut. Beberapa langkah telah diambil bagi menggalakkan pelaburan asing. Langkah ini diharapkan dapat meningkatkan ekonomi negara di samping menyediakan peluang pekerjaan. Menjelang tahun 1980-an, melalui Dasar Pandang ke Timur, pelaburan asing juga digalakkan dari negara-negara di Timur terutama Jepun dan Korea. Pada masa yang sama, Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara-negara yang sedang membangun dan juga negara-negara Islam bagi meningkatkan pasaran barangan keluaran Malaysia di samping mengadakan pelaburan di negara berkenaan.

FAKTOR POLITIK

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan system pemerintahan demokrasi berparlimen, Malaysia berhak menentukan hala tuju masa hadapannnya sendiri berdasarkan prinsip-prinsip keamanan sejagat. Ini jelas terpapar dalam dasar luar Malaysia yang menekankan pemeliharaan kedaulatan negara-negara lain. Contohnya, dasar Malaysia yang menyokong Palestin bagi mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat. Malaysia juga berpegang teguh pada prinsip-prinsip dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memelihara keamanan dunia. Oleh itu, Malaysia tegas dengan pendiriannya menyokong semua resolusi yang telah diambil oleh PBB bagi mencapai dan mengekalkan keamanan dunia.

FAKTOR GEOGRAFI

Malaysia mempunyai kedudukan yang strategik di Asia Tenggara dan bersempadan dengan hampir kebanyakan negar di rantau ini seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei. Perairannya juga menjadi laluan utama kapal-kapal perdagangan di dunia. Dengan itu, keselamatan negara serantau akan mempengaruhi dan meninggalkan kesan terhadap keselamatan Malaysia.

FAKTOR DEMOGRAFI

Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara Islam sejajar dengan penduduknya yang majority beragama Islam. Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel disebabkan dasar negara berkenaan yang menceroboh dan menindas peribumi Palestin.
Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama juga diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengamalkan budaya hidup dan agama masing-masing. Amalan konsep perpaduan dan sikap komited terhadap hak asasi manusia meneybabkan Malaysia menentang keras Dasar Apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan. Malaysia juga tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan negara berkenaan sehinggalah undang-undang dasar apartheid itu dihapuskan oleh kerajaan Afrika Selatan. Oleh itu, faktor kepelbagaian kaum di negara ini amat mempengaruhi pembentukan dasar luar Malaysia.

DASAR LUAR MALAYSIA : Prinsip

PRINSIP DASAR LUAR MALAYSIA

Di samping mengamalkan dasar berkecuali, Malaysia mempunyai beberapa prinsip atau tafsiran yang menjadi panduan dalam membentuk dan melaksanakan dasar luarnya.
Antara prinsip-prinsip yang diamalkan ialah:-

Pertama:
Negara kita terletak dalam kawasan yang mustahak dari sudut geopolitik di rantau Asia-Pasifik. Sebagai sebuah negara yang terletak di persimpangan dua jalan yang penting, iaitu Lautan India dan Lautan Pasifik yang kaya dengan sumber galian seperti minyak, bererti kedudukan negara kita adalah penting dari segi kestabilan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik.

Kedua:
Malaysia sendiri mempunyai kekayaan yang agak menarik dan ekonominya berlandaskan keupayaan dan kebolehan mengeksport bahan-bahan mentah serta barangan yang diproses. Ini akan membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi yang kukuh di Asia. Namun begitu, persekitaran Asia Tenggara sentiasa bergolak dengan permasalahan politik yang boleh mengancam kedudukan ekonomi dan politik negara.

Ketiga:
Malaysia amat berpegang teguh dengan konsep Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu kewujudan sistem antarabangsa di mana semua negara dapat hidup aman dan damai. Berasaskan kepada kepercayaan ini, Malaysia telah memainkan peranan aktif dan memberikan sumbangan yang bermakna terhadap PBB melalui penyertaan penuh semangat dalam agensi-agensi PBB seperti UNESCO dan UNCTA D. Malaysia juga memberikan sokongan terhadap orde baru Ekonomi Antarabangsa dan kegiatan-kegiatan Negara-Negara 77 untuk mencapai keadilan dalam sistem perdagangan yang selama ini memihak kepada negara maju sahaja.

Keempat:
Malaysia sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam penglibatan sebagai anggota Komanwel. Pada tahun 1989 Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM). Pertalian erat yang ditunjukkan dalam penglibatan negara Komanwel diperkukuhkan dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah sukan Komanwel yang telah berlangsung pada September 1998.

Kelima:
Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam agama rasmi, Malaysia telah menjalinkan hubungan yang erat dengan negara-negara Islam. Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC). Malah, YTM Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Setiausaha Agung pertama OIC. Malaysia telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap hubungan dengan negara-negara Islam sebagai salah satu asas hubungan luarnya.

DASAR LUAR MALAYSIA : Definisi & Objektif

Definisi dan Objektif Dasar Luar Malaysia

Dasar luar negara boleh dianggap sebagai instrumen atau alat yang diperlukan oleh sesebuah negara untuk berhubung, berinteraksi dengan sebuah negara yang lain, baik yang berjiran dengannya atau yang berada jauh dengannya. Melalui dasar luar negara, kita menyatakan pendirian kita berhubung dengan sesuatu isu yang berlaku di sempadan negara kita mahupun negara lain yang jauh dari segi kedudukan geografi dalam hubungan antarabangsa. Dalam sistem perhubungan antarabangsa, pembentukan dasar luar negara juga perlu mengambil kira dasar luar atau sikap negara-negara lain. Dasar luar boleh berubah mengikut senario politik antarabangsa. Tetapi, apa yang penting ialah dasar luar perlu mengutamakan kepentingan negara dan juga keselamatan, kemakmuran penduduknya. Ringkasnya, terdapat beberapa pendekatan yang boleh digunakan dalam membentuk dasar luar sesebuah negara:

(i) Dasar luar boleh bersifat berkecuali dan tidak mengikat mana-mana negara dalam membuat keputusan walaupun menghadapi tekanan dari negara-negara atau kuasa-kuasa besar yang lain.
(ii) Dasar luar juga boleh berbentuk pemencilan atau pengasingan seperti yang diamalkan oleh sesetengah Negara yang mengambil pendirian menyisihkan negara itu daripada pergolakan yang berlaku di luar.
(iii) Dasar luar juga boleh mencerminkan sikap memihak kepada negara atau kuasa besar yang mempunyai persamaan dengan negara tersebut dari segi amalan dan ideologi yang diamalkan. Dasar ini jelas ketara sewaktu berlakunya era Perang Dingin antara Rusia yang mengamalkan faham komunis dan Amerika Syarikat yang mengamalkan faham demokrasi/kapitalis. Negara-
negara yang menganuti ideologi komunis akan memihak kepada komunis dan sebaliknya, negara yang mengamalkan demokrasi/kapitalis, akan berkiblat kepada Amerika.

SOALAN ANEKA PILIHAN : DASAR LUAR MALAYSIA

1. Faktor utama yang mempengarushi penggubalan dasar luar Malaysia pada zaman Tunku Abdul Rahman ialah (STPM2005)
I. meningkatnya pengaruh komunis
II. perubahan politik di negara China
III. kedudukan ekonomi Malaysia yang lemah
IV. kempen konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia

A. I dan III
B. I dan IV
C. II dan III
D. II dan IV

Jawapan :

2. Yang manakah peristiwa dunia yang melibatkan Malaysia?
I. Pasukan pengaman di Lubnan
II. Perjanjian Damai Palestin-Israel
III. Pembangunan semula Bosnia Herzegovina
IV. Penempatan tentera pelbagai negara di Iraq

A. I dan II
B. I dan III
C. II dan IV
D. III dan IV

Jawapan :

  • Mengadakan dialog politik, kerjasama ekonomi, dan dialog peradaban kebudayaan
  • Mewujudkan kerjasama antara dua benua
3. Pernyataan di atas merujuk kepada
A. Forum Serantau ASEAN (ARF)
B. Mesyuarat Asia dan Eropah (ASEM)
C. Dialog Antarabangsa Langkawi (LID)
D. Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)


4. Yang manakah komitmen Malaysia dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)?
I. Menubuhkan Bank Islam Malaysia
II. Menubuhkan Bank Pembangunan Islam
III. Penubuhkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
IV. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

A. I dan II
B. I dan III
C. II dan IV
D. III dan IV

Jawapan :

Tuesday, August 25, 2009

KONSEP / DOKTRIN PENGASINGAN KUASA

Pembahagian Kuasa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil "Separation of Powers" merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama : Pemerintah (Eksekutif), Perundangan (Legislatif) dan Kehakiman.

Ia untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman” (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (
despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut.

Konsep Pembahagian Kuasa (juga lebih dikenali sebagai Konsep Pengasingan Kuasa) bermula sejak zaman Yunani lama. Aristotle berminat dengan kerajaan gabungan berkomposisi monarki, aristokrasi, dan demokrasi, melihatkan setiap elemen secara sendirinya tidak mampu menjalankan operasi kerajaaan secara sendirian, tetapi campuran ketiga-tiga elemen mengambil aspek terbaik dari elemen masing-masing. Pada 1656 James Harrington dalam bukunya Oceana, telah mengemaskinikan idea tersebut dan mencadangkan sistem berdasarkan konsep ini. John Locke, dalam "Civil Government, second treatise" pada 1690, telah membahagikan kuasa kerajaan kepada dua iaitu eksekutif dan legislatif. Manakala, Montesquieu dalam karyanya "Spirit of the Laws" telah mengembangkan idea Locke, dengan menambahkan cabang kehakiman. Dikatakan orang Inggeris mewujudkan kaedah sebenar pembahagian kuasa ini dengan lebih formal, yang mereka gelar sebagai “Instrumen Kerajaan”.

Di bawah pembahagian kuasa, kerajaan dipecah kepada tiga cabang, iatu:
Legislatif atau penggubal undang-undang
Eksekutif atau pentadbir kerajaan berdasarkan undang-undang
Kehakiman atau pelaksana undang-undang

Cabang-cabang ini mempunyai peranan yang berbeza tetapi saling bergantung antara satu cabang dengan lain. Misalnya hakim dilantik oleh ketua Eksekutif, manakala undang-undang yang berpunca dari cabang legislatif akan digunakan oleh badan kehakiman untuk membuat keputusan, manakala pihak eksekutif pula akan menguatkuasakan undang-undang tersebut.
Doktrin ini juga diperteguhkan lagi dengan elemen semak dan seimbang iaitu setiap badan mempunyai kuasa yang terhad dan boleh memeriksa serta menghadkan kuasa badan yang lain. Oleh itu, seorang
Hakim walaupun dilantik oleh ketua Eksekutif boleh menjatuhkan hukuman undang-undang kepada ketua eksekutif tersebut kerana badan kehakiman mempunyai kebebasan kehakiman dan para hakim dilindungi oleh kekebalan kehakiman.

Sekiranya elemen ini tiada, maka pembahagian kuasa sekadar nama sahaja. Doktrin pembahagian kuasa amat nyata di negara Amerika Syarikat. Di sana setiap badan saling memeriksa penyalahgunaan kuasa satu sama lain. Malah, setiap badan mempunyai elemen semak dan seimbangnya masing-masing. Misalnya polis boleh disoal siasat oleh satu badan bebas yang lain. Disamping itu, badan legislatif di kebanyakan negara adalah dwidewan misalnya di Malaysia yang mempunyai dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dua dewan ini adalah penting untuk memastikan semak dan seimbang dilaksanakan dalam penggubalan undang-undang

Monday, August 24, 2009

PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Sejarah Perlembagaan Malaysia

Asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Berikutan kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama.
Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk Kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1956.

Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti.

Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh kemerdekaan untuk negara.
Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan-persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan.
Memorandum berkenaan, yang disebut sebagai Pakatan Murni, iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.
Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid ini diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957.

Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan nama negara ditukar kepada Malaysia.

Sunday, August 23, 2009

DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL (DPN)

Dasar Pembangunan Nasional (DPN)

Latarbelakang
Tahun 1990 menandakan berakhirnya Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam tempoh pelaksanaan DEB (1971-1990), ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pesatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah walaupun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh namun banyak kejayaan telah dicapai. Jelas bahawa proses socio-economic engineering ala DEB ini memerlukan masa yang lebih lama daripada apa yang telah diperuntukkan dengan mengambil kira kesan-kesan daripada pergolakan dunia amnya.
DPN telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) 1991-2000 telah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), menandakan bermulanya satu lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Objektif
Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.

Strategi Pelaksanaan
DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara. DPN adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi aspek-aspek kritikal seperti berikut:
(i) Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama;
(ii) Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan;
(iii) Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia;
(iv) Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar;
(v) Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara;
(vi) Memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat;
(vii) Menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden; dan
(viii) Memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi supaya dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.
DPN telah mengambil kira kemajuan yang telah dicapai setakat ini di bawah DEB serta kekuatan dan kelemahan yang wujud semasa pelaksanaannya. Ia mengandungi beberapa peralihan pendekatan dengan tujuan mengadakan satu dimensi baru dalam usaha pembangunan, terutamanya dalam membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Dimensi-dimensi baru DPN adalah seperti berikut:
(i) Memberi penekanan yang lebih kepada strategi pembasmian kemiskinan untuk tujuan menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin hardcore poor di samping mengurangkan kemiskinan relatif. (Golongan yang termiskin adalah keluarga berpendapatan 50% atau kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan. Bagi tahun 1990, Pendapatan Garis Kemiskinan adalah sebanyak $370 sebulan bagi saiz isi rumah 5.1 di Semenanjung Malaysia, $544 bagi saiz isi rumah 5.4 di Sabah dan $452 bagi saiz isi rumah 5.2 di Sarawak. Kira-kira 143,000 isi rumah atau 4% daripada jumlah isi rumah adalah tergolong sebagai keluarga termiskin);
(ii) Menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu strategi penting kearah meningkatkan dan seterusnya mengekalkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi;
(iii) Meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan semula masyarakat; dan
(iv) Memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.

Program Pelaksanaan
Beberapa pendekatan baru yang diambil dalam usaha melaksanakan DPN adalah seperti berikut:
(i) Hasil pencapaian yang berkualiti dan berkekalan
Pendekatan yang lebih terpilih akan dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk mencapai hasil yang berkualiti dan berkekalan. Dalam proses menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin dan juga mengurangkan ketidakseimbangan, penekanan akan diberikan kepada aspek-aspek pendidikan dan latihan sebelum bantuan diberikan;

(ii) Persaingan Dalam Pasaran Antarabangsa
DPN telah mengambil kira kemampuan negara untuk bersaing dengan lebih terdaya dalam pasaran antarabangsa di samping menghadapi cabaran baru. Di dalam menghadapi persaingan antarabangsa, Malaysia perlu meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dan pengusaha supaya dapat memperluaskan urusan mereka di negara ini. Dalam bidang eksport pula, halangan-halangan (perlindungan) perdagangan antarabangsa akan meningkat. Untuk mengatasi masalah ini, Malaysia akan terus mengamalkan dasar liberal yang boleh menggalakkan sektor swasta lebih bersedia menghadapi risiko berkaitan. Para pengeksport negara juga perlu mengurangkan pergantungan mereka kepada Sistem Keutamaan Am (GSP) dan menjadi pengeksport yang mempunyai daya saingan yang tinggi;

(iii) Wawasan 2020
Penyertaan semua kaum di negara ini adalah sangat penting untuk memajukan Malaysia ke taraf negara yang maju menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian pelaksanaan strategi serampang dua mata DPN akan terus menggalakkan penggemblengan sumber-sumber negara dan menggunakan potensi kecerdasan masyarakat berbilang kaum untuk membina ekonomi yang teguh serta meningkatkan ketahanan negara bagi mengatasi ketidakstabilan dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Oleh kerana setiap kaum mempunyai sifat dan kekuatannya sendiri maka adalah penting untuk semua kaum di negara ini saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara; dan

(iv) Pembasmian Kemiskinan
Kadar kemiskinan negara dijangka akan dapat dikurangkan ke paras 7.2% dalam tahun 2000 berbanding dengan 19.1% dalam tahun 1990. Kadar pengangguran pula dijangka berkurangan ke tahap 4% dalam tahun 2000. Dalam melaksanakan strategi pembasmian kemiskinan,DPN akan mengambil kira beberapa perubahan dibuat terhadap peranan sektor awam. Oleh kerana kadar kemiskinan yang terlalu tinggi di kawasan luar bandar pada akhir tahun 1960-an, pelaksanaan DEB (1971 - 90) telah memperlihatkan penglibatan terus perkhidmatan awam melalui pembukaan tanah-tanah dan pemberian subsidi besar-besaran kepada petani-petani kecil untuk mewujudkan pekerjaan dan membantu meningkatkan pendapatan mereka. Pengalaman telah menunjukkan bahawa kos penyelenggaraan skim pembangunan tanah seperti yang diuruskan oleh FELDA adalah lebih tinggi daripada kos pengendalian estet yang serupa oleh sektor swasta. Tambahan pula anak-anak peneroka dan petani yang berpendidikan lebih tinggi kurang berminat untuk bekerja di luar bandar. Ramai di antara mereka telah berhijrah untuk bekerja di bandar-bandar. Dengan itu pembukaan tanah baru oleh agensi kerajaan untuk mengatasi masalah pengangguran tidaklah ekonomikal lagi. Peranan ini lebih sesuai untuk dikendalikan oleh estet-estet komersial.

Latihan yang diberikan kepada belia-belia di luar bandar akan membolehkan mereka mendapatkan kerja-kerja yang berkemahiran dan berpendapatan lebih tinggi. Aspek latihan ini akan dipertingkatkan untuk menggantikan pemberian subsidi yang dilaksanakan sehingga ini. Pemberian subsidi dan sokongan akan diteruskan untuk golongan penanam padi dan nelayan tetapi ianya akan ditumpukan ke arah mempertingkatkan produktiviti pengeluaran mereka.

Peranan sektor awam dalam pembasmian kemiskinan akan ditumpukan pada program-program berikut:
- pendidikan dan
- latihan - kesihatan
- jalan-jalan luar bandar
- pengangkutan
- perumahan
- bekalan air dan elektrik

Usaha-usaha yang lebih gigih akan dilaksanakan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di antara wilayah-wilayah, khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain.
Program pelaksanaan untuk mengatasi kemiskinan di bandar-bandar juga akan dipertingkatkan. Di kawasan bandar, kemiskinan relatif akan dikurangkan menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Langkah-langkah juga akan diambil oleh Kerajaan melalui perancangan dan penetapan zon pembangunan bandar yang sesuai dalam usaha membangunkan bandar-bandar secara teratur. Ini bukan sahaja akan dapat mengawal pertumbuhan kawasan-kawasan setinggan tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada golongan yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.

(v) Penyusunan Semula Masyarakat
Penghapusan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi dan penyusunan semula hakmilik akan terus menjadi program penting di bawah strategi ini. Berhubung dengan ini, matlamat DPN adalah untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Bumiputera ke tahap yang lebih berdaya maju dan teguh. Kedudukan ini boleh dicapai dengan pelaksanaan strategi meningkatkan guna tenaga dan penyertaan Bumiputera dalam pengurusan sektor-sektor moden dan membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Walaupun dasar dan program Kerajaan akan terus menyediakan sokongan kepada usahawan Bumiputera, tetapi adalah menjadi harapan kerajaan usahawan Bumiputera akan memajukan perniagaan berasaskan daya usaha sendiri dan kurang bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Sehubungan dengan ini latihan dalam bidang pengurusan harta dan etika perniagaan akan diutamakan. Sebagai langkah jangka panjang, program untuk memupuk usahawan muda juga akan diberi tumpuan.

DPN akan menggalakkan penyertaan Bumiputera secara meluas dalam sektor-sektor moden seperti pembuatan dan perkhidmatan. Perhatian khusus diberi kepada penyertaan Bumiputera di dalam industri kecil dan sederhana menerusi program sub-kontrak dan franchise. Usahasama secara aktif di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera akan digalakkan untuk membolehkan syarikat Bumiputera meningkatkan prospek perniagaan. Bagi membolehkan Bumiputera bersaing dalam perniagaan moden, mereka akan didedahkan kepada teknologi terbaru di samping kemudahan-kemudahan modal, maklumat pasaran dan hubungan perniagaan dengan pasaran antarabangsa. Matlamat penyusunan semula gunatenaga akan memastikan corak gunatenaga di pelbagai sektor dan pekerjaan dalam ekonomi mencerminkan komposisi pelbagai kumpulan etnik dalam negara. Dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, dasar ini akan memastikan bahawa Bumiputera mendapat bahagian yang saksama daripada pekerjaan baru yang diwujudkan, khususnya dalam kategori profesional, pengurusan dan teknikal. Daripada 2.4 juta pekerjaan baru yang dijangka akan dapat diwujudkan dari tahun 1991-2000, kira-kira 55.8% akan diambil oleh Bumiputera (706,700 dalam sektor perkhidmatan dan 534,000 dalam sektor pembuatan.) Di sektor luar bandar, untuk meningkatkan mobiliti tenaga kerja, langkah-langkah akan diambil untuk memperbaiki tahap pendidikan dan kemahiran.

Berhubung dengan strategi penyusunan semula hak milik dan pengawalan dalam sektor swasta, sasaran secara kuantitatif yang khusus tidak ditetapkan dalam DPN. Langkah-langkah akan diambil untuk melengkapkan Bumiputera dengan kemahiran-kemahiran yang sesuai bukan sahaja bagi mengurus dan menjalankan pemiagaan dengan berkesan tetapi juga bagi mengekalkan kekayaan mereka. Agensi-agensi amanah dan perbadanan awam perlu merancang dan menyelaras tindakan masing-masing dengan lebih berkesan dalam mewujudkan harta-harta baru dan membeli kepentingan tertentu bagi pihak Bumiputera. Peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diperkukuhkan dalam menggembleng tabungan Bumiputera dan pembangunan keusahawanan. Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan PNB untuk meneruskan usaha menggembleng tabungan Bumiputera sepanjang tempoh DPN.

Penswastaan akan digunakan sebagai suatu cara untuk mempercepatkan dan memperluaskan penyertaan Bumiputera dalam sektor swasta serta mencapai hasrat penyusunan semula modal saham. Jawatankuasa Pelaburan Asing akan meneruskan pengawasan proses penyusunan semula modal saham dengan menggalakkan lagi syarikat-syarikat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Penutup
Seperti DEB, DPN akan meneruskan usaha-usaha mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi bukan sahaja di kalangan kaum etnik tetapi juga di antara golongan kaya dan miskin dan antara wilayah. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.

DASAR EKONOMI BARU

DASAR EKONOMI BARU

Latarbelakang

Dilihat dari perspektif sejarah Malaysia, penjajah British menggalakkan perkembangan masyarakat secara 'plural' melalui amalan 'pecah' dan perintah. Pihak British telah menggalakkan kedatangan tenaga buruh dari negara China dan India untuk kepentingan ekonomi penjajah dalam sektor perlombongan bijih timah, perdagangan dan perladangan.
Penambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi telah menyebabkan pertumbuhan bandar, jalan-jalan, rel-rel keretapi dan pembahagian kelompok kaum mengikut sektor ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan jurang perbezaan antara kaum, pembangunan bandar dan luar bandar bertambah besar.

Selepas mencapai kemerdekaan, Rancangan Malaya 5 tahun telah diperkenalkan. Rancangan Malaya Pertama, kedua dan Rancangan Malaysia Pertama dirancang untuk menitikberatkan kepada segi pertumbuhan dan pembaharuan ekonomi. Rancangan ini telah menunjukkan kelemahan dari segi strategi di mana corak atau sistem semasa penjajahan masih berterusan.

Rasional
Dari banci penduduk tahun 1970 didapati 49.3% dari semua keluarga di Semenanjung Malaysia menerima pendapatan di bawah garis miskin.Dari jumlah semua keluarga miskin 86% berada di kawasan luar bandar dan 14% di kawasan bandar. Kadar kemiskinan mengikut kaum pula adalah saperti berikut:

Kaum Kadar Kemiskinan ( % ) Pendapatan Purata Keluarga Sebulan ( RM )
Melayu 64.8 172.00
Cina 26.0 392.00
India 39.2 304.00
Lain-lain 44.8 813.00

Pemilikan Jumlah Pemilikan %( RM Juta )
1. Bumiputera Perseorangan dan Agensi Amanah 279.6 4.3
a) Bumiputera Perseorangan 168.7 2.6
b) Agensi Amanah 110.9 1.7
2. Bukan Bumiputera 2233.2 34.0
3. Warganegara Asing 4051.3 61.7
Jumlah : 6564.1 100.0

Dilihat dari sudut pembahagian pekerjaan pada tahun 1970 pecahan mengikut kaum adalah seperti berikut:
Sektor-sektor Melayu Cina India Lain-lain
1. Pertanian 67.6 19.9 11.5 1.0
2. Perlombongan 32.1 58.7 8.5 0.7
3. Perniagaan/Perdagangan, Pentadbiran Awam, Pelajaran, Pertahanan dan kemudahan awam 42.6 45.5 10.7 1.2

Objektif
Matlamat-matlamat konsep warisan bersama yang disuarakan oleh Malaysia ialah:-Bahan-bahan Antartika digunakan untuk faedah manusia.
'Ecology' dan alam sekitar dipertahankan.Kerjasama dan penyelarasan antarabangsa dalam kajian saintifik dan lain-lain.
Antartika digunakan untuk menggalakkan 'disarmament', 'denuclearisation' dan 'demilitarisation'.

Strategi Pelaksanaan
Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru adalah disusun dan dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:
i. Mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
ii. Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

Membasmi kemiskinan
Kemiskinan adalah sebab utama yang menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat. Ianya bukan sahaja terdapat di luar bandar tetapi juga di bandar. Keadaan ini boleh menggugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan adalah mengikut kaum dengan kadar kemiskinan paling tinggi di kalangan orang Melayu yang tertumpu kepada aktiviti pertanian tradisional. Usaha telah dijalankan untuk menyelesaikan masalah sosial ekonomi dan projek pembangunan telah dirangka supaya:
i. Mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua golongan rakyat yang menganggur.
ii. Menambah daya pengeluaran dan pendapatan.
iii. Memberi peluang perpindahan orang yang bekerja di sektor yang rendah daya pengeluarannya kepada sektor yang lebih lumayan.
iv. Mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum antara kawasan bandar dan luarbandar dan antara wilayah.
v. Memodenkan kehidupan di luarbandar.
vi. Mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan bumiputera.
vii. Mengadakan suasana pekerjaan yang mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.
viii. Memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat melalui pelajaran, latihan, kesihatan, kemudahan kemudahan infra-struktur dan lain-lain.

Penyusunan Semula Masyarakat
Adalah menjadi hasrat kerajaan supaya menjelang tahun 1990 pemilikan saham / ekonomi Malaysia akan melambangkan komposisi kepentingan kaum di negara ini, di mana penyertaan Bumiputera sebanyak 30%, 40% bukan Bumiputera dan 30% terdiri dari pelabur-pelabur luar negeri.
Dalam mencapai matlamat penyusunan semula Dasar Ekonomi Baru, strategi berikut telah disusun :
i. Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin melalui proses memodenkan kawasan luarbandar.
ii. Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga yang terdapat sekarang ini dengan cara yang progresif dan menerusi pertumbuhan ekonomi seluruhnya supaya pada tahun 1990 kedudukan tenaga buruh mencerminkan bilangan kaum.
iii. Menambahkan dengan lebih cepat lagi bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan modal dalam stok syarikat dan pertumbuhan ekonomi.
iv. Membentuk sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya dapat membentuk dan memiliki 30% ekonomi dalam tahun 1990 dan menubuhkan beberapa agensi saperti MARA, Bank Pembangunan, Bank Bumiputera,Amanah Saham Nasional.
v. Memajukan negeri dan kawasan yang dianggap mundur melalui pembangunan wilayah baru seperti DARA, KESEDAR, KEJORA dan sebagainya.

Penutup
Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamatkan perpaduan negara melalui proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat didalam konteks keselamatan negara yang kukuh. Segala program pembangunan negara dan Dasar kerajaan semasa yang diperkenalkan adalah dirancang dan dilaksanakan untuk mencapai tujuan-tujuan diatas. Usaha ini memerlukan bukan sahaja usaha yang gigih dari kerajaan dan kakitangannya, malah ianya memerlukan perubahan sikap, tenaga dan pemikiran rakyat dari sektor swasta.