PENGAJIAN AM KERTAS 1 : KENEGARAAN

Kertas 1 meliputi Konsep Kenegaraan, Perlembagaan, Perlembagaan Malaysia, Sistem Pentadbiran Malaysia, Sistem Perundangan Malaysia, Sistem Kehakiman Malaysia, Dasar Dalam Negara, Dasar Luar Negara, Isu Semasa dan Penyelesaian Masalah.

Friday, April 30, 2010

APA ITU PETISYEN?

Zaid fail petisyen cabar pilihan raya

Calon PKR yang tewas, Datuk Zaid Ibrahim akan memfailkan petisyen pilihan raya supaya keputusan kerusi parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal.

Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat selepas mendapati jentera dan kepemimpinan BN mengamalkan rasuah melalui pelbagai janji yang dibuat untuk meraih undi rakyat.

“Dalam keadaan seperti, kami akan memfailkan petisyen pilihan raya sebaik sahaja pasukan perundangan saya bersedia,” katanya pada sidang media di rumhanya.

Dakwanya lagi, pilihan raya kecil itu juga dicemari pembelian undi dan pemindahan pengundi.

Zaid juga berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa gagal mengendalikan pilihan raya kecil itu dengan adil.

Tuesday, April 27, 2010

ABU ZAHAR UJANG YANG DIPERTUA BAHARU DEWAN NEGARA

Abu Zahar dilantik Yang Dipertua Dewan Negara
Apr 26, 10 10:53am

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-16.

Beliau menggantikan Datuk Wong Foon Meng dari MCA yang meletakkan jawatannya pada 12 April lalu setelah memegangnya selama dua penggal.

Abu Zahar mengangkat sumpah sebaik sahaja persidangan Dewan Negara bermula pada pukul 10 pagi selepas dilantik sebagai senator.

Beliau memulakan kariernya pada 1964 sebagai Inspektor Polis Diraja Malaysia dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Penguasa Polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1979.

Pada 1980 hingga Jun 1986, Abu Zahar meneruskan profesion guaman di ibu negara sebelum dipilih sebagai Aahli dewan undangan negeri Pilah dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan.

Pada 1991, beliau mempertahankan kerusi DUN berkenaan sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah selama satu penggal bermula 1995 hingga 1999.

Sumber : www.malaysiakini.com

Monday, April 26, 2010

PEMILIHAN AHLI DEWAN NEGARA

Dewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli. Dewan Negeri terbahagi kepada dua kategori seperti berikut:-

26 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli).

 
44 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putra Jaya.

 
Untuk layak menjadi ahli, seseorang calon hendaklah:- 
  • warganegara Malaysia
  • tidak kurang dari 30 tahun
  • waras fikiran
  • bukan seorang muflis
  • tidak mempunyai rekod jenayah

 Jawatan itu hendaklah dipegang selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh disambung sebanyak satu penggal lagi, sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat negeri.

 
Kedudukan Dewan Negara tidak berubah dengan pembubaran Parlimen. Ahli-ahli Dewan Negara dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang menyumbang khidmat yang cemerlang atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing, dalam perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau merupakan wakil kumpulan bangsa minoriti ataupun berkebolehan menjaga kepentingan orang-orang asli.

 
Setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahan Perlembagaan.

Monday, April 19, 2010

PENGUNDIAN AWAL GANTI PENGUNDIAN POS?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji memperkenalkan sistem pengundian awal yang membolehkan sebilangan pemilih mengundi lebih awal, selain dua hari sebelum tarikh pengundian sebagai tempoh bertenang.


Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihaknya sedang mengkaji kedua-dua sistem itu yang kini dilaksana di beberapa negara, termasuk Thailand dan Indonesia. Katanya, fokus utama SPR adalah untuk menggantikan undi pos dengan menambah bilangan pengundi yang layak untuk mengundi awal.

Menurutnya, pada hari pilihan raya diadakan, tidak semua pengundi berdaftar yang dapat membuang undi kerana terikat dengan komitmen lain seperti bertugas pada hari itu dan sebagainya. Mereka mempunyai hak di sisi Perlembagaan dan adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk mencari jalan bagi membolehkan setiap rakyat mengundi.

Wan Ahmad dan beberapa pegawai SPR melawat Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand akhir tahun lalu bagi mempelajari dan mengkaji proses pengundian awal yang digunakan negara itu serta undang-undang berkaitan. Katanya, tujuan lawatan itu adalah untuk mempelajari dan mengkaji peraturan dan perundangan berhubung proses pengundian awal di Thailand kerana negara itu berjaya mengendalikan sistem berkenaan dengan cukup baik.

Beliau berkata, SPR akan mengemukakan cadangan sistem itu kepada kerajaan selepas dipersetujui di peringkat suruhanjaya. Selain menukar nama pengundian pos kepada pengundian awal, katanya, SPR juga akan cuba mengesyorkan kemasukan pengundi kategori lain bagi mereka yang layak melakukan pengundian awal seperti wartawan, doktor, jururawat, juruterbang dan pramugari.

Pada masa ini, mereka yang layak mengundi secara pos ialah anggota polis dan pasangan, anggota tentera dan pasangan, pelajar dan pegawai kerajaan yang berada di luar negara. Pada pilihan raya umum 2007 di Thailand, hampir tiga juta daripada 45 juta pengundi berdaftarnya mengundi awal pada dua hari yang ditetapkan.

Mengikut peraturan pilihan raya negara itu, semua pengundi berdaftar layak mengundi awal, terutamanya mereka yang mendaftar di wilayah lain tetapi tidak dapat pulang pada pilihan raya umum dan mahu mengundi awal di tempat mereka bekerja atau bermastautin. Wan Ahmad berkata, SPR juga sedang mengkaji cadangan untuk menetapkan dua hari sebagai tempoh bertenang tanpa sebarang kempen pada sesuatu pilihan raya.

Walaupun peraturan sekarang menetapkan kempen pilihan raya perlu tamat menjelang tengah malam sebelum hari pengundian, beliau berkata, budaya politik yang diamalkan di negara ini tidak menghormati peraturan itu. Beliau berkata, di Malaysia, tiada siapa hormat atau yang mahu mengikut peraturan ‘cooling off period’ (tempoh bertenang) yang ditetapkan SPR. Walaupun dilarang, pada hari mengundi, masih ada lagi yang meraih dan merayu undi, mengibarkan bendera dan berkonvoi.

Ditanya mengapa SPR tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan itu, beliau berkata, berdasarkan senario politik negara ketika ini, keadaan akan menjadi bertambah huru-hara pada hari pengundian.

Sehubungan itu, beliau berharap tempoh bertenang boleh dilaksanakan pada pilihan raya akan datang bagi memudahkan SPR dan pihak berkuasa tempatan membersihkan kawasan mengundi daripada poster dan bendera yang dipasang.

PERSEMPADANAN BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHAN RAYA

KAJIAN DAN PERSEMPADANAN SEMULA

Kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri adalah merupakan salah satu daripada tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan. Setiap bahagian pilihan raya harus mengandungi sebilangan pemilih yang tinggal di kawasan yang boleh dikenal pasti. Dalam menjalankan kajian berkenaan, Suruhanjaya Pilihan Raya dibantu oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Perangkaan dan Jabatan Peguam Negara. Sehingga kini, sebanyak 8 kali urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri telah diadakan.

PRINSIP-PRINSIP PERSEMPADANAN SEMULA

Dalam menjalankan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya mematuhi prinsip-prinsip yang digariskan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Prinsip-prinsip ini adalah seperti yang berikut:-

i) Di samping memberi perhatian terhadap mustahaknya pemilih-pemilih diberi peluang-peluang kemudahan yang berpatutan untuk mengundi, sempadan bahagian-bahagian pilihan raya tidak harus memasuki sempadan-sempadan Negeri dan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya Negeri tidak harus memasuki sempadan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan;
ii) Perhatian harus juga diberi kepada kemudahan-kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian-bahagian pilihan raya itu untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi pendaftaran dan semasa mengundi;
iii) Bilangan pemilih di dalam tiap-tiap satu bahagian pilihan raya dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyaknya kecuali bagi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar di mana keluasan bahagian patut diberi pertimbangan memandangkan kepada lebih besar kesulitan untuk sampai kepada pemilih-pemilih dalam daerah-daerah kampung dan lain-lain kesukaran yang dihadapi; dan

iv) Perhatian juga patut diberi kepada kesulitan-kesulitan yang akan timbul dengan perubahan-perubahan bahagian-bahagian pilihan raya dan juga memelihara hubungan setempat.