Sunday, August 30, 2009
DASAR LUAR MALAYSIA : Prinsip
Di samping mengamalkan dasar berkecuali, Malaysia mempunyai beberapa prinsip atau tafsiran yang menjadi panduan dalam membentuk dan melaksanakan dasar luarnya.
Antara prinsip-prinsip yang diamalkan ialah:-
Pertama:
Negara kita terletak dalam kawasan yang mustahak dari sudut geopolitik di rantau Asia-Pasifik. Sebagai sebuah negara yang terletak di persimpangan dua jalan yang penting, iaitu Lautan India dan Lautan Pasifik yang kaya dengan sumber galian seperti minyak, bererti kedudukan negara kita adalah penting dari segi kestabilan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik.
Kedua:
Malaysia sendiri mempunyai kekayaan yang agak menarik dan ekonominya berlandaskan keupayaan dan kebolehan mengeksport bahan-bahan mentah serta barangan yang diproses. Ini akan membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi yang kukuh di Asia. Namun begitu, persekitaran Asia Tenggara sentiasa bergolak dengan permasalahan politik yang boleh mengancam kedudukan ekonomi dan politik negara.
Ketiga:
Malaysia amat berpegang teguh dengan konsep Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu kewujudan sistem antarabangsa di mana semua negara dapat hidup aman dan damai. Berasaskan kepada kepercayaan ini, Malaysia telah memainkan peranan aktif dan memberikan sumbangan yang bermakna terhadap PBB melalui penyertaan penuh semangat dalam agensi-agensi PBB seperti UNESCO dan UNCTA D. Malaysia juga memberikan sokongan terhadap orde baru Ekonomi Antarabangsa dan kegiatan-kegiatan Negara-Negara 77 untuk mencapai keadilan dalam sistem perdagangan yang selama ini memihak kepada negara maju sahaja.
Keempat:
Malaysia sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam penglibatan sebagai anggota Komanwel. Pada tahun 1989 Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM). Pertalian erat yang ditunjukkan dalam penglibatan negara Komanwel diperkukuhkan dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah sukan Komanwel yang telah berlangsung pada September 1998.
Kelima:
Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam agama rasmi, Malaysia telah menjalinkan hubungan yang erat dengan negara-negara Islam. Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC). Malah, YTM Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Setiausaha Agung pertama OIC. Malaysia telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap hubungan dengan negara-negara Islam sebagai salah satu asas hubungan luarnya.
DASAR LUAR MALAYSIA : Definisi & Objektif
Dasar luar negara boleh dianggap sebagai instrumen atau alat yang diperlukan oleh sesebuah negara untuk berhubung, berinteraksi dengan sebuah negara yang lain, baik yang berjiran dengannya atau yang berada jauh dengannya. Melalui dasar luar negara, kita menyatakan pendirian kita berhubung dengan sesuatu isu yang berlaku di sempadan negara kita mahupun negara lain yang jauh dari segi kedudukan geografi dalam hubungan antarabangsa. Dalam sistem perhubungan antarabangsa, pembentukan dasar luar negara juga perlu mengambil kira dasar luar atau sikap negara-negara lain. Dasar luar boleh berubah mengikut senario politik antarabangsa. Tetapi, apa yang penting ialah dasar luar perlu mengutamakan kepentingan negara dan juga keselamatan, kemakmuran penduduknya. Ringkasnya, terdapat beberapa pendekatan yang boleh digunakan dalam membentuk dasar luar sesebuah negara:
(i) Dasar luar boleh bersifat berkecuali dan tidak mengikat mana-mana negara dalam membuat keputusan walaupun menghadapi tekanan dari negara-negara atau kuasa-kuasa besar yang lain.
(ii) Dasar luar juga boleh berbentuk pemencilan atau pengasingan seperti yang diamalkan oleh sesetengah Negara yang mengambil pendirian menyisihkan negara itu daripada pergolakan yang berlaku di luar.
(iii) Dasar luar juga boleh mencerminkan sikap memihak kepada negara atau kuasa besar yang mempunyai persamaan dengan negara tersebut dari segi amalan dan ideologi yang diamalkan. Dasar ini jelas ketara sewaktu berlakunya era Perang Dingin antara Rusia yang mengamalkan faham komunis dan Amerika Syarikat yang mengamalkan faham demokrasi/kapitalis. Negara-
negara yang menganuti ideologi komunis akan memihak kepada komunis dan sebaliknya, negara yang mengamalkan demokrasi/kapitalis, akan berkiblat kepada Amerika.
SOALAN ANEKA PILIHAN : DASAR LUAR MALAYSIA
1. Faktor utama yang mempengarushi penggubalan dasar luar Malaysia pada zaman Tunku Abdul Rahman ialah (STPM2005)
I. meningkatnya pengaruh komunis
II. perubahan politik di negara China
III. kedudukan ekonomi Malaysia yang lemah
IV. kempen konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia
A. I dan III
B. I dan IV
C. II dan III
D. II dan IV
Jawapan :
2. Yang manakah peristiwa dunia yang melibatkan Malaysia?
I. Pasukan pengaman di Lubnan
II. Perjanjian Damai Palestin-Israel
III. Pembangunan semula Bosnia Herzegovina
IV. Penempatan tentera pelbagai negara di Iraq
A. I dan II
B. I dan III
C. II dan IV
D. III dan IV
Jawapan :
- Mengadakan dialog politik, kerjasama ekonomi, dan dialog peradaban kebudayaan
- Mewujudkan kerjasama antara dua benua
A. Forum Serantau ASEAN (ARF)
B. Mesyuarat Asia dan Eropah (ASEM)
C. Dialog Antarabangsa Langkawi (LID)
D. Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)
4. Yang manakah komitmen Malaysia dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)?
I. Menubuhkan Bank Islam Malaysia
II. Menubuhkan Bank Pembangunan Islam
III. Penubuhkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
IV. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
A. I dan II
B. I dan III
C. II dan IV
D. III dan IV
Jawapan :
Tuesday, August 25, 2009
KONSEP / DOKTRIN PENGASINGAN KUASA
Ia untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman” (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut.
Konsep Pembahagian Kuasa (juga lebih dikenali sebagai Konsep Pengasingan Kuasa) bermula sejak zaman Yunani lama. Aristotle berminat dengan kerajaan gabungan berkomposisi monarki, aristokrasi, dan demokrasi, melihatkan setiap elemen secara sendirinya tidak mampu menjalankan operasi kerajaaan secara sendirian, tetapi campuran ketiga-tiga elemen mengambil aspek terbaik dari elemen masing-masing. Pada 1656 James Harrington dalam bukunya Oceana, telah mengemaskinikan idea tersebut dan mencadangkan sistem berdasarkan konsep ini. John Locke, dalam "Civil Government, second treatise" pada 1690, telah membahagikan kuasa kerajaan kepada dua iaitu eksekutif dan legislatif. Manakala, Montesquieu dalam karyanya "Spirit of the Laws" telah mengembangkan idea Locke, dengan menambahkan cabang kehakiman. Dikatakan orang Inggeris mewujudkan kaedah sebenar pembahagian kuasa ini dengan lebih formal, yang mereka gelar sebagai “Instrumen Kerajaan”.
Di bawah pembahagian kuasa, kerajaan dipecah kepada tiga cabang, iatu:
Legislatif atau penggubal undang-undang
Eksekutif atau pentadbir kerajaan berdasarkan undang-undang
Kehakiman atau pelaksana undang-undang
Cabang-cabang ini mempunyai peranan yang berbeza tetapi saling bergantung antara satu cabang dengan lain. Misalnya hakim dilantik oleh ketua Eksekutif, manakala undang-undang yang berpunca dari cabang legislatif akan digunakan oleh badan kehakiman untuk membuat keputusan, manakala pihak eksekutif pula akan menguatkuasakan undang-undang tersebut.
Doktrin ini juga diperteguhkan lagi dengan elemen semak dan seimbang iaitu setiap badan mempunyai kuasa yang terhad dan boleh memeriksa serta menghadkan kuasa badan yang lain. Oleh itu, seorang Hakim walaupun dilantik oleh ketua Eksekutif boleh menjatuhkan hukuman undang-undang kepada ketua eksekutif tersebut kerana badan kehakiman mempunyai kebebasan kehakiman dan para hakim dilindungi oleh kekebalan kehakiman.
Sekiranya elemen ini tiada, maka pembahagian kuasa sekadar nama sahaja. Doktrin pembahagian kuasa amat nyata di negara Amerika Syarikat. Di sana setiap badan saling memeriksa penyalahgunaan kuasa satu sama lain. Malah, setiap badan mempunyai elemen semak dan seimbangnya masing-masing. Misalnya polis boleh disoal siasat oleh satu badan bebas yang lain. Disamping itu, badan legislatif di kebanyakan negara adalah dwidewan misalnya di Malaysia yang mempunyai dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dua dewan ini adalah penting untuk memastikan semak dan seimbang dilaksanakan dalam penggubalan undang-undang
Monday, August 24, 2009
PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Berikutan kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada tahu
n 1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama.Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk Kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1956.
Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti.
Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan-persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan.
Memorandum berkenaan, yang disebut sebagai Pakatan Murni, iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata.
Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid ini diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957.
Sunday, August 23, 2009
DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL (DPN)
Latarbelakang
Tahun 1990 menandakan berakhirnya Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam tempoh pelaksanaan DEB (1971-1990), ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pesatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah walaupun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh namun banyak kejayaan telah dicapai. Jelas bahawa proses socio-economic engineering ala DEB ini memerlukan masa yang lebih lama daripada apa yang telah diperuntukkan dengan mengambil kira kesan-kesan daripada pergolakan dunia amnya.
DPN telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2) 1991-2000 telah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN), menandakan bermulanya satu lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Objektif
Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.
Strategi Pelaksanaan
DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara. DPN adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang merangkumi aspek-aspek kritikal seperti berikut:
(i) Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama;
(ii) Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan;
(iii) Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia;
(iv) Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar;
(v) Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara;
(vi) Memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat;
(vii) Menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden; dan
(viii) Memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi supaya dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.
DPN telah mengambil kira kemajuan yang telah dicapai setakat ini di bawah DEB serta kekuatan dan kelemahan yang wujud semasa pelaksanaannya. Ia mengandungi beberapa peralihan pendekatan dengan tujuan mengadakan satu dimensi baru dalam usaha pembangunan, terutamanya dalam membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Dimensi-dimensi baru DPN adalah seperti berikut:
(i) Memberi penekanan yang lebih kepada strategi pembasmian kemiskinan untuk tujuan menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin hardcore poor di samping mengurangkan kemiskinan relatif. (Golongan yang termiskin adalah keluarga berpendapatan 50% atau kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan. Bagi tahun 1990, Pendapatan Garis Kemiskinan adalah sebanyak $370 sebulan bagi saiz isi rumah 5.1 di Semenanjung Malaysia, $544 bagi saiz isi rumah 5.4 di Sabah dan $452 bagi saiz isi rumah 5.2 di Sarawak. Kira-kira 143,000 isi rumah atau 4% daripada jumlah isi rumah adalah tergolong sebagai keluarga termiskin);
(ii) Menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu strategi penting kearah meningkatkan dan seterusnya mengekalkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi;
(iii) Meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan semula masyarakat; dan
(iv) Memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.
Program Pelaksanaan
Beberapa pendekatan baru yang diambil dalam usaha melaksanakan DPN adalah seperti berikut:
(i) Hasil pencapaian yang berkualiti dan berkekalan
Pendekatan yang lebih terpilih akan dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk mencapai hasil yang berkualiti dan berkekalan. Dalam proses menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin dan juga mengurangkan ketidakseimbangan, penekanan akan diberikan kepada aspek-aspek pendidikan dan latihan sebelum bantuan diberikan;
(ii) Persaingan Dalam Pasaran Antarabangsa
DPN telah mengambil kira kemampuan negara untuk bersaing dengan lebih terdaya dalam pasaran antarabangsa di samping menghadapi cabaran baru. Di dalam menghadapi persaingan antarabangsa, Malaysia perlu meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dan pengusaha supaya dapat memperluaskan urusan mereka di negara ini. Dalam bidang eksport pula, halangan-halangan (perlindungan) perdagangan antarabangsa akan meningkat. Untuk mengatasi masalah ini, Malaysia akan terus mengamalkan dasar liberal yang boleh menggalakkan sektor swasta lebih bersedia menghadapi risiko berkaitan. Para pengeksport negara juga perlu mengurangkan pergantungan mereka kepada Sistem Keutamaan Am (GSP) dan menjadi pengeksport yang mempunyai daya saingan yang tinggi;
(iii) Wawasan 2020
Penyertaan semua kaum di negara ini adalah sangat penting untuk memajukan Malaysia ke taraf negara yang maju menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian pelaksanaan strategi serampang dua mata DPN akan terus menggalakkan penggemblengan sumber-sumber negara dan menggunakan potensi kecerdasan masyarakat berbilang kaum untuk membina ekonomi yang teguh serta meningkatkan ketahanan negara bagi mengatasi ketidakstabilan dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Oleh kerana setiap kaum mempunyai sifat dan kekuatannya sendiri maka adalah penting untuk semua kaum di negara ini saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara; dan
(iv) Pembasmian Kemiskinan
Kadar kemiskinan negara dijangka akan dapat dikurangkan ke paras 7.2% dalam tahun 2000 berbanding dengan 19.1% dalam tahun 1990. Kadar pengangguran pula dijangka berkurangan ke tahap 4% dalam tahun 2000. Dalam melaksanakan strategi pembasmian kemiskinan,DPN akan mengambil kira beberapa perubahan dibuat terhadap peranan sektor awam. Oleh kerana kadar kemiskinan yang terlalu tinggi di kawasan luar bandar pada akhir tahun 1960-an, pelaksanaan DEB (1971 - 90) telah memperlihatkan penglibatan terus perkhidmatan awam melalui pembukaan tanah-tanah dan pemberian subsidi besar-besaran kepada petani-petani kecil untuk mewujudkan pekerjaan dan membantu meningkatkan pendapatan mereka. Pengalaman telah menunjukkan bahawa kos penyelenggaraan skim pembangunan tanah seperti yang diuruskan oleh FELDA adalah lebih tinggi daripada kos pengendalian estet yang serupa oleh sektor swasta. Tambahan pula anak-anak peneroka dan petani yang berpendidikan lebih tinggi kurang berminat untuk bekerja di luar bandar. Ramai di antara mereka telah berhijrah untuk bekerja di bandar-bandar. Dengan itu pembukaan tanah baru oleh agensi kerajaan untuk mengatasi masalah pengangguran tidaklah ekonomikal lagi. Peranan ini lebih sesuai untuk dikendalikan oleh estet-estet komersial.
Latihan yang diberikan kepada belia-belia di luar bandar akan membolehkan mereka mendapatkan kerja-kerja yang berkemahiran dan berpendapatan lebih tinggi. Aspek latihan ini akan dipertingkatkan untuk menggantikan pemberian subsidi yang dilaksanakan sehingga ini. Pemberian subsidi dan sokongan akan diteruskan untuk golongan penanam padi dan nelayan tetapi ianya akan ditumpukan ke arah mempertingkatkan produktiviti pengeluaran mereka.
Peranan sektor awam dalam pembasmian kemiskinan akan ditumpukan pada program-program berikut:
- pendidikan dan
- latihan - kesihatan
- jalan-jalan luar bandar
- pengangkutan
- perumahan
- bekalan air dan elektrik
Usaha-usaha yang lebih gigih akan dilaksanakan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di antara wilayah-wilayah, khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain.
Program pelaksanaan untuk mengatasi kemiskinan di bandar-bandar juga akan dipertingkatkan. Di kawasan bandar, kemiskinan relatif akan dikurangkan menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Langkah-langkah juga akan diambil oleh Kerajaan melalui perancangan dan penetapan zon pembangunan bandar yang sesuai dalam usaha membangunkan bandar-bandar secara teratur. Ini bukan sahaja akan dapat mengawal pertumbuhan kawasan-kawasan setinggan tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada golongan yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.
(v) Penyusunan Semula Masyarakat
Penghapusan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi dan penyusunan semula hakmilik akan terus menjadi program penting di bawah strategi ini. Berhubung dengan ini, matlamat DPN adalah untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Bumiputera ke tahap yang lebih berdaya maju dan teguh. Kedudukan ini boleh dicapai dengan pelaksanaan strategi meningkatkan guna tenaga dan penyertaan Bumiputera dalam pengurusan sektor-sektor moden dan membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Walaupun dasar dan program Kerajaan akan terus menyediakan sokongan kepada usahawan Bumiputera, tetapi adalah menjadi harapan kerajaan usahawan Bumiputera akan memajukan perniagaan berasaskan daya usaha sendiri dan kurang bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Sehubungan dengan ini latihan dalam bidang pengurusan harta dan etika perniagaan akan diutamakan. Sebagai langkah jangka panjang, program untuk memupuk usahawan muda juga akan diberi tumpuan.
DPN akan menggalakkan penyertaan Bumiputera secara meluas dalam sektor-sektor moden seperti pembuatan dan perkhidmatan. Perhatian khusus diberi kepada penyertaan Bumiputera di dalam industri kecil dan sederhana menerusi program sub-kontrak dan franchise. Usahasama secara aktif di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera akan digalakkan untuk membolehkan syarikat Bumiputera meningkatkan prospek perniagaan. Bagi membolehkan Bumiputera bersaing dalam perniagaan moden, mereka akan didedahkan kepada teknologi terbaru di samping kemudahan-kemudahan modal, maklumat pasaran dan hubungan perniagaan dengan pasaran antarabangsa. Matlamat penyusunan semula gunatenaga akan memastikan corak gunatenaga di pelbagai sektor dan pekerjaan dalam ekonomi mencerminkan komposisi pelbagai kumpulan etnik dalam negara. Dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, dasar ini akan memastikan bahawa Bumiputera mendapat bahagian yang saksama daripada pekerjaan baru yang diwujudkan, khususnya dalam kategori profesional, pengurusan dan teknikal. Daripada 2.4 juta pekerjaan baru yang dijangka akan dapat diwujudkan dari tahun 1991-2000, kira-kira 55.8% akan diambil oleh Bumiputera (706,700 dalam sektor perkhidmatan dan 534,000 dalam sektor pembuatan.) Di sektor luar bandar, untuk meningkatkan mobiliti tenaga kerja, langkah-langkah akan diambil untuk memperbaiki tahap pendidikan dan kemahiran.
Berhubung dengan strategi penyusunan semula hak milik dan pengawalan dalam sektor swasta, sasaran secara kuantitatif yang khusus tidak ditetapkan dalam DPN. Langkah-langkah akan diambil untuk melengkapkan Bumiputera dengan kemahiran-kemahiran yang sesuai bukan sahaja bagi mengurus dan menjalankan pemiagaan dengan berkesan tetapi juga bagi mengekalkan kekayaan mereka. Agensi-agensi amanah dan perbadanan awam perlu merancang dan menyelaras tindakan masing-masing dengan lebih berkesan dalam mewujudkan harta-harta baru dan membeli kepentingan tertentu bagi pihak Bumiputera. Peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diperkukuhkan dalam menggembleng tabungan Bumiputera dan pembangunan keusahawanan. Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan PNB untuk meneruskan usaha menggembleng tabungan Bumiputera sepanjang tempoh DPN.
Penswastaan akan digunakan sebagai suatu cara untuk mempercepatkan dan memperluaskan penyertaan Bumiputera dalam sektor swasta serta mencapai hasrat penyusunan semula modal saham. Jawatankuasa Pelaburan Asing akan meneruskan pengawasan proses penyusunan semula modal saham dengan menggalakkan lagi syarikat-syarikat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Penutup
Seperti DEB, DPN akan meneruskan usaha-usaha mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi bukan sahaja di kalangan kaum etnik tetapi juga di antara golongan kaya dan miskin dan antara wilayah. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan perpaduan negara.
DASAR EKONOMI BARU
Latarbelakang
Dilihat dari perspektif sejarah Malaysia, penjajah British menggalakkan perkembangan masyarakat secara 'plural' melalui amalan 'pecah' dan perintah. Pihak British telah menggalakkan kedatangan tenaga buruh dari negara China dan India untuk kepentingan ekonomi penjajah dalam sektor perlombongan bijih timah, perdagangan dan perladangan.
Penambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi telah menyebabkan pertumbuhan bandar, jalan-jalan, rel-rel keretapi dan pembahagian kelompok kaum mengikut sektor ekonomi. Keadaan ini telah menyebabkan jurang perbezaan antara kaum, pembangunan bandar dan luar bandar bertambah besar.
Selepas mencapai kemerdekaan, Rancangan Malaya 5 tahun telah diperkenalkan. Rancangan Malaya Pertama, kedua dan Rancangan Malaysia Pertama dirancang untuk menitikberatkan kepada segi pertumbuhan dan pembaharuan ekonomi. Rancangan ini telah menunjukkan kelemahan dari segi strategi di mana corak atau sistem semasa penjajahan masih berterusan.
Rasional
Dari banci penduduk tahun 1970 didapati 49.3% dari semua keluarga di Semenanjung Malaysia menerima pendapatan di bawah garis miskin.Dari jumlah semua keluarga miskin 86% berada di kawasan luar bandar dan 14% di kawasan bandar. Kadar kemiskinan mengikut kaum pula adalah saperti berikut:
Kaum Kadar Kemiskinan ( % ) Pendapatan Purata Keluarga Sebulan ( RM )
Melayu 64.8 172.00
Cina 26.0 392.00
India 39.2 304.00
Lain-lain 44.8 813.00
Pemilikan Jumlah Pemilikan %( RM Juta )
1. Bumiputera Perseorangan dan Agensi Amanah 279.6 4.3
a) Bumiputera Perseorangan 168.7 2.6
b) Agensi Amanah 110.9 1.7
2. Bukan Bumiputera 2233.2 34.0
3. Warganegara Asing 4051.3 61.7
Jumlah : 6564.1 100.0
Dilihat dari sudut pembahagian pekerjaan pada tahun 1970 pecahan mengikut kaum adalah seperti berikut:
Sektor-sektor Melayu Cina India Lain-lain
1. Pertanian 67.6 19.9 11.5 1.0
2. Perlombongan 32.1 58.7 8.5 0.7
3. Perniagaan/Perdagangan, Pentadbiran Awam, Pelajaran, Pertahanan dan kemudahan awam 42.6 45.5 10.7 1.2
Objektif
Matlamat-matlamat konsep warisan bersama yang disuarakan oleh Malaysia ialah:-Bahan-bahan Antartika digunakan untuk faedah manusia.
'Ecology' dan alam sekitar dipertahankan.Kerjasama dan penyelarasan antarabangsa dalam kajian saintifik dan lain-lain.
Antartika digunakan untuk menggalakkan 'disarmament', 'denuclearisation' dan 'demilitarisation'.
Strategi Pelaksanaan
Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru adalah disusun dan dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:
i. Mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
ii. Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
Membasmi kemiskinan
Kemiskinan adalah sebab utama yang menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat. Ianya bukan sahaja terdapat di luar bandar tetapi juga di bandar. Keadaan ini boleh menggugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan adalah mengikut kaum dengan kadar kemiskinan paling tinggi di kalangan orang Melayu yang tertumpu kepada aktiviti pertanian tradisional. Usaha telah dijalankan untuk menyelesaikan masalah sosial ekonomi dan projek pembangunan telah dirangka supaya:
i. Mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua golongan rakyat yang menganggur.
ii. Menambah daya pengeluaran dan pendapatan.
iii. Memberi peluang perpindahan orang yang bekerja di sektor yang rendah daya pengeluarannya kepada sektor yang lebih lumayan.
iv. Mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum antara kawasan bandar dan luarbandar dan antara wilayah.
v. Memodenkan kehidupan di luarbandar.
vi. Mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan bumiputera.
vii. Mengadakan suasana pekerjaan yang mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.
viii. Memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat melalui pelajaran, latihan, kesihatan, kemudahan kemudahan infra-struktur dan lain-lain.
Penyusunan Semula Masyarakat
Adalah menjadi hasrat kerajaan supaya menjelang tahun 1990 pemilikan saham / ekonomi Malaysia akan melambangkan komposisi kepentingan kaum di negara ini, di mana penyertaan Bumiputera sebanyak 30%, 40% bukan Bumiputera dan 30% terdiri dari pelabur-pelabur luar negeri.
Dalam mencapai matlamat penyusunan semula Dasar Ekonomi Baru, strategi berikut telah disusun :
i. Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin melalui proses memodenkan kawasan luarbandar.
ii. Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga yang terdapat sekarang ini dengan cara yang progresif dan menerusi pertumbuhan ekonomi seluruhnya supaya pada tahun 1990 kedudukan tenaga buruh mencerminkan bilangan kaum.
iii. Menambahkan dengan lebih cepat lagi bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan modal dalam stok syarikat dan pertumbuhan ekonomi.
iv. Membentuk sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya dapat membentuk dan memiliki 30% ekonomi dalam tahun 1990 dan menubuhkan beberapa agensi saperti MARA, Bank Pembangunan, Bank Bumiputera,Amanah Saham Nasional.
v. Memajukan negeri dan kawasan yang dianggap mundur melalui pembangunan wilayah baru seperti DARA, KESEDAR, KEJORA dan sebagainya.
Penutup
Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamatkan perpaduan negara melalui proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat didalam konteks keselamatan negara yang kukuh. Segala program pembangunan negara dan Dasar kerajaan semasa yang diperkenalkan adalah dirancang dan dilaksanakan untuk mencapai tujuan-tujuan diatas. Usaha ini memerlukan bukan sahaja usaha yang gigih dari kerajaan dan kakitangannya, malah ianya memerlukan perubahan sikap, tenaga dan pemikiran rakyat dari sektor swasta.
