Tuesday, September 8, 2009
PERLEMBAGAAN MALAYSIA : KEWARGANEGARAAN BAB 1
Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan
Perkara 14. Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.
(1) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:
(a) tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia yang menjadi warganegara Persekutuan
menurut kuasa peruntukan yang terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua; dan
(b) tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana
kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua.
(c) (Dimansuhkan).
(2) (Dimansuhkan).
(3) (Dimansuhkan).
Perkara 15. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara).
(1) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara, maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika perkahwinan itu masih wujud dan suaminya itu seorang warganegara pada permulaan bulan Oktober 1962, atau jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan—
(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan sepanjang tempoh dua tahun sebelum tarikh
permohonan itu dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap; dan
(b) bahawa dia berkelakuan baik.
(2) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka Kerajaan Persekutuan boleh menyebabkan orang itu didaftarkan sebagai warganegara jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapanya sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara.
(3) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia dilahirkan sebelum permulaan bulan Oktober 1962 dan bapanya sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara dan juga seorang warganegara pada permulaan bulan itu (jika hidup pada masa itu), dan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa orang itu biasanya
bermastautin di Persekutuan dan berkelakuan baik.
(4) Bagi maksud Fasal (1), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.
(5) Sebutan dalam Fasal (1) mengenai perempuan bersuami ialah sebutan mengenai perempuan yang perkahwinannya telah didaftarkan mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Persekutuan, termasuklah mana-mana undang-undang sedemikian yang berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka, atau mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak: Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai jika perempuan itu memohon supaya didaftarkan sebagai warganegara sebelum permulaan bulan September 1965, atau apa-apa tarikh kemudiannya sebagaimana yang ditetapkan melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, dan jika pada tarikh permohonan itu dia biasanya bermastautin di Negeri
Sabah dan Sarawak.
(6) (Dimansuhkan).
Perkara 15A. Kuasa khas untuk mendaftarkan kanak-kanak.
Tertakluk kepada Perkara 18, Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun didaftarkan sebagai warganegara.
Perkara 16. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka).
Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan—
(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan dalam masa tujuh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada lima tahun;
(b) bahawa dia berniat hendak berbuat demikian secara tetap;
(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu.
Perkara 16A. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia).
Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan sebelum bulan September 1971 oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang biasanya bermastautin di Negeri Sabah atau Sarawak pada Hari Malaysia, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan—
(a) bahawa dia telah bermastautin sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu dan bermastautin selepas Hari Malaysia di Persekutuan selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada tujuh tahun dalam masa sepuluh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu;
(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan;
(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bahasa Melayu atau bahasa
Inggeris atau, dalam hal pemohon yang biasanya bermastautin di Sarawak, mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa ibunda yang digunakan pada masa ini di Sarawak, kecuali jika permohonan itu dibuat sebelum bulan September 1965 dan pemohon telah mencapai umur empat puluh lima tahun pada tarikh permohonan itu.
Perkara 17. (Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Persekutuan pada hari Merdeka)-Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).
Perkara 18. Peruntukan am tentang pendaftaran.
(1) Tiada seorang pun yang berumur lapan belas tahun atau lebih boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.
(2) Kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan, tiada seorang pun yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perlembagaan ini atau yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraan persekutuan atau kewarganegaraan bagi Persekutuan sebelum Hari Merdeka di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini.
(3) Seseorang yang didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini menjadi warganegara melalui pendaftaran mulai dari hari dia didaftarkan sedemikian.
(4) (Dimansuhkan).
Perkara 19. Kewarganegaraan melalui penaturalisasian.
(1) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati—
(a) bahawa—
(i) dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak
berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;
(ii) (Dimansuhkan);
(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.
(2) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati—
(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat
hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;
(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.
(3) Tempoh kemastautinan di Persekutuan atau bahagiannya yang berkaitan yang dikehendaki bagi pemberian suatu perakuan naturalisasi ialah tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada sepuluh tahun dalam masa dua belas tahun sebaik sebelum tarikh permohonan bagi perakuan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu.
(4) Bagi maksud Fasal (1) dan (2), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan; dan bagi maksud Fasal (2), kemastautinan di Singapura sebelum Hari Malaysia atau dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan kemastautinan di Singapura selepas Hari Malaysia hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.
(5) Seseorang yang diberi perakuan naturalisasi menjadi warganegara melalui penaturalisasian mulai dari tarikh perakuan itu diberikan.
(6) (Dimansuhkan).
(7) (Dimansuhkan).
(8) (Dimansuhkan).
(9) Tiada perakuan naturalisasi boleh diberikan kepada mana-mana orang sehinggalah dia telah
mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.
Perkara 19A. (Pemindahan kewarganegaraan ke Singapura atau dari Singapura Dimansuhkan)
(Dimansuhkan).
Perkara 20. (Naturalisasi bagi anggota-anggota angkatan Persekutuan - Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).
Perkara 21. (Peruntukan am tentang naturalisasi - Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).
Perkara 22. Kewarganegaraan melalui penggabungan wilayah.
Jika mana-mana wilayah baru diterima masuk ke dalam Persekutuan selepas Hari Malaysia menurut Perkara 2, maka Parlimen boleh melalui undang-undang menentukan siapakah orang yang akan menjadi warganegara oleh sebab hubungan mereka dengan wilayah itu dan tarikh atau tarikh-tarikh mereka itu akan menjadi warganegara.
Monday, September 7, 2009
PERLEMBAGAAN MALAYSIA : BAHAGIAN 2
Perkara 5. Kebebasan diri
(1) Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.
(2) Jika pengaduan dibuat kepada Mahkamah Tinggi atau mana-mana hakim Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa seseorang sedang ditahan dengan menyalahi undang-undang, maka mahkamah itu hendaklah menyiasat pengaduan itu dan, melainkan jika mahkamah itu berpuas hati bahawa tahanan itu adalah sah, hendaklah memerintahkan supaya orang itu dibawa ke hadapan mahkamah itu dan melepaskannya.
(3) Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.
(4) Jika seseorang ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu) dibawa ke hadapan majistret dan orang itu tidak boleh ditahan dalam jagaan selanjutnya tanpa kebenaran majistret itu:
Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi penangkapan atau penahanan mana-mana orang di bawah undang-undang yang sedia ada yang berhubungan dengan kediaman terhad, dan kesemua peruntukan Fasal ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Perkara ini mulai dari hari Merdeka:
Dengan syarat selanjutnya bahawa dalam pemakaiannya bagi seseorang, selain seorang warganegara, yang ditangkap atau ditahan di bawah undang-undang yang berhubungan dengan imigresen, Fasal ini hendaklah dibaca seolah-olah perkataan "tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu)" telah digantikan dengan perkataan "dalam tempoh empat belas hari": Dan dengan syarat selanjutnya bahawa dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah Syariah, sebutan dalam Fasal ini mengenai majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan mengenai hakim mahkamah Syariah.
Perkara 6. Keabdian dan kerja paksa dilarang.
(1) Tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi.
(2) Segala bentuk kerja paksa adalah dilarang, tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan mengenai perkhidmatan wajib bagi maksud-maksud negara.
(3) Kerja atau khidmat yang dikehendaki daripada mana-mana orang sebagai akibat daripada sesuatu sabitan atau dapatan bahawa dia bersalah di mahkamah tidaklah dikira sebagai kerja paksa mengikut pengertian Perkara ini, dengan syarat kerja atau khidmat itu dijalankan di bawah pengawasan dan kawalan suatu pihak berkuasa awam.
(4) Jika menurut mana-mana undang-undang bertulis kesemua atau mana-mana bahagian daripada fungsi mana-mana pihak berkuasa awam dikehendaki dijalankan oleh suatu pihak berkuasa awam yang lain, bagi maksud membolehkan fungsi-fungsi itu dilaksanakan, maka pekerja-pekerja pihak berkuasa awam yang mula-mula disebut adalah terikat untuk berkhidmat dengan pihak berkuasa awam yang kedua disebut, dan perkhidmatan mereka dengan pihak berkuasa awam yang kedua disebut itu tidaklah dikira sebagai kerja
paksa mengikut pengertian Perkara ini, dan tiada seorang pun pekerja itu berhak menuntut apa-apa hak sama ada daripada pihak berkuasa awam yang mula-mula disebut atau kedua disebut itu oleh sebab pertukaran pekerjaannya.
Perkara 7. Perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang.
(1) Tiada seorang pun boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan atau peninggalan yang tidak boleh dihukum menurut undang-undang pada masa perbuatan atau peninggalan itu dilakukan atau dibuat, dan tiada seorang pun boleh menanggung hukuman yang lebih berat kerana sesuatu kesalahan daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan.
(2) Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya itu.
Perkara 8. Kesamarataan.
(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
(3) Tidak boleh ada diskriminasi yang memihak kepada mana-mana orang atas alasan bahawa dia seorang rakyat Raja bagi mana-mana Negeri.
(4) Tiada pihak berkuasa awam boleh mendiskriminasikan mana-mana orang atas alasan bahawa dia bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana bahagian Persekutuan di luar bidang kuasa pihak berkuasa itu.
(5) Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang—
(a) apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri;
(b) apa-apa peruntukan atau amalan yang mengehadkan jawatan atau pekerjaan yang berkaitan
dengan hal ehwal mana-mana agama, atau sesuatu institusi yang diuruskan oleh sekumpulan orang yang menganuti mana-mana agama, kepada orang yang menganuti agama itu;
(c) apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau pemajuan orang asli Semenanjung
Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah) atau perizaban bagi orang asli suatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam;
(d) apa-apa peruntukan yang menetapkan kemastautinan di sesuatu Negeri atau di sebahagian
sesuatu Negeri sebagai suatu kelayakan bagi pemilihan atau pelantikan kepada mana-mana pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa hanya di Negeri atau di bahagian itu sahaja, atau bagi pengundian dalam pemilihan itu;
(e) apa-apa peruntukan Perlembagaan sesuatu Negeri, yang adalah atau yang bersamaan dengan suatu peruntukan yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka;
(f) apa-apa peruntukan yang mengehadkan pengambilan masuk tentera ke dalam Rejimen Askar Melayu kepada orang Melayu.
Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak.
(1) Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan.
(2) Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam, atau penghukuman pesalah, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.
(3) Selagi mana-mana Negeri lain berada dalam kedudukan istimewa di bawah Perlembagan ini berbanding dengan Negeri-Negeri Tanah Melayu, Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan-sekatan, antara Negeri itu dengan Negeri-Negeri yang lain, ke atas hak-hak yang diberikan oleh Fasal (2) berkenaan dengan pergerakan dan kemastautinan.
Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.
(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—
(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;
(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;
(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.
(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.
(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.
Perkara 11. Kebebasan beragama.
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.
(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—
(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.
(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.
Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.
(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir—
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak
berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi
penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).
(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusiinstitusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.
(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.
Perkara 13. Hak terhadap harta.
(1) Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
(2) Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.
PERLEMBAGAAN MALAYSIA : BAHAGIAN 1
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA/NEGERI-NEGERI, AGAMA DAN UNDANG-UNDANG BAGI PERSEKUTUAN
Perkara 1. Nama, Negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan.
(1) Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris.
(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
(3) Tertakluk kepada Fasal (4), wilayah-wilayah bagi setiap Negeri yang disebut dalam Fasal (2) ialah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu sebaik sebelum Hari Malaysia.
(4) Wilayah bagi Negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206] dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095] dan wilayah bagi Negeri Sabah tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585], dan kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi wilayah-wilayah Persekutuan.
Perkara 2. Penerimaan masuk wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan.
Parlimen boleh melalui undang-undang—
(a) menerima masuk Negeri-negeri lain ke dalam Persekutuan;
(b) mengubah sempadan mana-mana Negeri,
tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.
Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.
(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.
(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu.
(4) Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.
(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.
Perkara 4. Undang-undang utama Persekutuan.
(1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
(2) Kesahan mana-mana undang-undang tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa—
(a) undang-undang itu mengenakan sekatan-sekatan ke atas hak yang disebut dalam Perkara 9(2) tetapi tidak berhubungan dengan perkara-perkara yang disebut dalam Perkara itu; atau
(b) undang-undang itu mengenakan mana-mana sekatan yang disebut dalam Perkara 10(2) tetapi sekatan-sekatan itu tidak disifatkan perlu atau suai manfaat oleh Parlimen bagi maksud-maksud yang disebut dalam Perkara itu.
(3) Kesahan mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan perundangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan berkenaan dengan apa-apa perkara yang berkenaan dengannya Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, kecuali dalam prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan bahawa undang-undang itu adalah tidak sah atas alasan itu atau—
(a) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen, dalam prosiding antara Persekutuan dengan satu atau beberapa Negeri;
(b) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, dalam prosiding antara Persekutuan dengan Negeri itu.
(4) Prosiding untuk mendapatkan penetapan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah atas alasan yang disebut dalam Fasal (3) (iaitu prosiding yang tidak termasuk dalam perenggan (a) atau (b) Fasal itu) tidak boleh dimulakan tanpa kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan; dan Persekutuan berhak menjadi satu pihak dalam mana-mana prosiding itu, dan begitulah juga dengan mana-mana Negeri yang akan atau mungkin menjadi satu pihak dalam prosiding yang dibawa bagi maksud yang sama di bawah perenggan (a) atau (b) Fasal itu.
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA
Berikut adalah teks penuh bagi Perlembagaan Persekutuan Malaysia, mengandungi pindaan terkini Akta 1260/2006.
• Bahagian I - Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang bagi Persekutuan
• Bahagian II - Kebebasan Asasi
• Bahagian III - Kewarganegaraan
• Bahagian IV - Persekutuan
• Bahagian V - Negeri-Negeri
• Bahagian VI - Perhubungan Antara Persekutuan dengan Negeri-Negeri
• Bahagian VII - Peruntukan Kewangan
• Bahagian VIII - Pilihan Raya
• Bahagian IX - Badan Kehakiman
• Bahagian X - Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam
• Bahagian XI - Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang, dan Perbuatan
dan Jenayah yang Memudaratkan Orang Awam dan Kuasa Darurat
• Bahagian XII - Am dan Pelbagai
• Bahagian XIIA - Perlindungan Tambahan bagi Negeri Sabah dan Sarawak
• Bahagian XIII - Peruntukan Sementara dan Peralihan
• Bahagian XIV - Kecualian bagi Kedaulatan, dsb., Raja-Raja
• Bahagian XV - Prosiding Terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja
• Jadual-Jadual
• Senarai Pindaan
• Senarai Perkara yang Dipinda
PERLEMBAGAAN MALAYSIA : Artikel
Perlembagaan ini dibahagikan kepada 15 bahagian, setiap bahagian mengandungi satu atau lebih artikel yang relevan.
• Bahagian 1 - Negeri-negeri, agama dan undang-undang persekutuan
• Bahagian 2 - Kebebasan asasi
• Bahagian 3 - Kewarganegaraan
• Bahagian 4 - Persekutuan
• Bahagian 5 - Negeri-negeri
• Bahagian 6 - Perhubungan antara persekutuan dan negeri-negeri
• Bahagian 7 - Peruntukan-peruntukan kewangan
• Bahagian 8 - Pilihanraya
• Bahagian 9 - Kehakiman
• Bahagian 10 - Perkhidmatan awam
• Bahagian 11 - Kuasa-kuasa khas menentang kuasa subversif dan darurat
• Bahagian 12 - Am dan pelbagai
• Bahagian 13 - Peruntukan sementara
• Bahagian 14 - Perkecualian bagi kedaulatan raja-raja dan sebagainya
• Bahagian 15 - Prosiding terhadap Yang di-Pertuan Agung dan raja-raja
Artikel
Artikel 11
Artikel 11 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Islam merupakan Agama rasmi Persekutuan. Sungguh pun begitu setiap orang berhak mempraktikkan agamanya sendiri.
Artikel 153
Rencana utama: Artikel 153 Perlembagaan Malaysia
Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Malaysia. Artikel ini secara terperinci memberitahu bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam . Ia biasa dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial.
Artikel 160
Rencana utama: Artikel 160 Perlembagaan Malaysia
Artikel 160 mendefinisikan bentuk perkataan pelbagai yang digunakan di dalam perlembagaan. Ia memberikan impak penting pada Islam di Malaysia dan orang Melayu disebabkan definisi seorang Melayu pada klausa 2.
Rujukan
• Ahmad, Zainon & Phang, Llew-Ann (Oct. 1, 2005). The all-powerful executive. The Sun.
PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Perlembagaan Malaysia, dikenali juga sebagai Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 perkara, adalah undang-undang tertinggi di Malaysia. Ia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu
a) Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948
b) Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957.
Sejarah
Perlembagaan ini telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31Ogos, 1957.
Pindaan
Untuk meminda perlembagaan, satu majoriti dua pertiga (2/3) bersetuju kepada pemindaan ini memerlukan persetujuan pada kedua-dua pada kedua-dua dewan di parlimen. Merujuk kepada pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi, perlembagaan ini telah dipinda 42 kali semenjak 48 tahun selepas kemerdekaan sehingga 2005. Bagaimanapun, seperti mana beberapa pindaan telah dibuat setiap kali, beliau menganggarkan bilangan sebenar pindaan individu adalah pada sekitar 650.
Saturday, September 5, 2009
SOALAN OBJEKTIF : BAB PERLEMBAGAAN
Perlembagaan Persekutuan yang digunapakai pada hari ini adalah berdasarkan perlembagaan tahun
A. 1948
B. 1957
C. 1963
D. 1984
Perlembagaan diperlukan oleh sesebuah negara supaya
A. menjadi panduan kepada sesebuah parti politik
B. menjadi pedoman kepada sesebuah pemerintahan
C. menjadi garis panduan kepada badan pemerintahan
D. menjadi panduan dalam pelaksanaan sesebuah kerajaan
- Seseorang yang ditangkap perlulah diberitahu mengapa dia ditangap
- Hanya dengan undang-undang sahaja nyawa seseorang boleh diambil
Pernyataan di atas merujuk kepada
A. Kebebasan diri
B. Kebebasan asasi
C. Kebebasan mutlak
D. Kebebasan mutlak sementara
Menurut perlembagaan, kuasa tertinggi di Malaysia diperuntukkan kepada
A. Perdana Menteri
B. Yang di-Pertuan Agong
C. Mahkamah Persekutuan
D. Perlembagaan Persekutuan
- Isteri dan anak warganegara telah bermastautin dua tahun sebelum permohonan
- Berumur 18 tahun bermastautin di Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963. Telah bermastautin sebelum tarikh tersebut dan selepas tempoh itu telah bermastautin selama tujuh daripada 10 tahun sebelum permohonan.
Pernyataan di atas merujuk kepada perolehan kewarganegaraan secara
A. kuat kuasa undang-undang
B. pendaftaran
C. permohonan
D. kemasukan wilayah
- menentukan hak asasi rakyat
- kuasa tertinggi dalam negara
- menentukan corak kerajaan sesebuah negara
Pernyataan di atas merujuk kepada
A. kabinet
B. Parlimen
C. mahkamah
D. perlembagaan
