PENGAJIAN AM KERTAS 1 : KENEGARAAN

Kertas 1 meliputi Konsep Kenegaraan, Perlembagaan, Perlembagaan Malaysia, Sistem Pentadbiran Malaysia, Sistem Perundangan Malaysia, Sistem Kehakiman Malaysia, Dasar Dalam Negara, Dasar Luar Negara, Isu Semasa dan Penyelesaian Masalah.

Wednesday, April 20, 2011

PROSEDUR RAYUAN KES JENAYAH

Prosedur rayuan kes jenayah

1) Notis rayuan difailkan dengan pendaftaran Mahkamah dalam tmpoh 14 hari selepas keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi
2) Hakim yang membuat keputusan membuat penghakiman bertulis mengenai alasan keputusan tersebut dibuat
3) Pendaftaran Mahkamah membuat notis yang mengandungi rekod prosiding berserta bayaran yang ditetapkan kepada perayu ( kecuali pendakwah raya)
4) Dalam tempoh 10 hari selepas notis disampaikan, perayu memfailkan petisyen rayuan berseta lima salinan yang dialamatkan kepada Mahkamah Rayuan dengan Pendaftar Mahkamah
5) Pendaftar Mahkamah member salinan notis rayuan dan petisyen rayuan kepada Mahkamah Rayuan
6) Pendaftar Mahkamah menyampaikan salinan rekod prosiding dan salinan notis rayuan serta petisyen rayuan kepada pihak perayu dan peguam
7) Mahkamah Rayuan mengeluarkan waran tangkap sekiranya rayuan dibuat terhadap tertuduh yang dibebaskan sebelum rayuan dibuat
8) Sekiranya Mahkamah Rayuan menolak rayuan atas alasan tertentu, notis penolakan desampaikan kepada perayu
9) Jika Mahkamah Rayuan menerima rayuan tersebut, Mahkamah Rayuan member notis tentang masa dan tempat perbicaraan bagi pihak perayu

MAHKAMAH RAYUAN

MAHKAMAH RAYUAN

Keanggotaan
1) Terdiri daripada:
a. Presiden (Pengerusi)
b. 15 orang hakim lain

2) Presiden dan hakim-hakim dilantik oleh YDA atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja

3) Hakim Mahkamah Rayuan boleh dipilih sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan oleh Ketua Hakim Negara bagi kes-kes tertentu demi keadilan.

4) Peranan Presiden:
a. Menentukan rayuan dibuat dimana-mana mahkamah di Malaysia.
b. Menetapkan cuti untuk hakim-hakimnya yang berjumlah satu bulan dalam satu tahun
c. Menentukan prosiding dan jumlah hakim yang mendengar dan memutuskan sesuatu kes

5) Keputusan mahkamah dibuat berdasarkan suara majoriti hakim
Bidang kuasa

1) Kuasa dalam kes jenayah:
a. Mendengar rayuan kes jenayah yang diputuskan oleh mahkamah tinggi
b. Mendengar rayuan atau mengkaji semula Mahkamah Sesyen
c. Mendengar rayuan daripada Mahkamah Sesyen
d. Mendengar rayuan kes jenayah daripada Mahkamah Majistret berhubung dengan persoalan undang-undang sahaja

2) Tindakan yang diambil:
a. Memerintah perbicaraan semula di Mahkamah Tinggi
b. Mengubah keputusan Mahkamah Tinggi
c. Mengubah hukuman yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi
d. Mendapatkan bukti-bukti tambahan melalui perbicaraan

3) Kuasa dalam kes sivil:
a. Keputusan dicapai melalui pihak-pihak terlibat
b. Perkara-perkara yang melibatkan nilai wang tuntutan RM250 000 keatas kecuali mendapat persetujuan Mahkamah Rayuan
c. Penghakiman melibatkan kos sahaja mengikut budi bicara mahkamah
d. Kes-kes dimana penghakiman Mahkamah Tinggi adalah muktamad

4) Dalam hal ini, rayuan tidak boleh dibuat terhadap keputusan hakim yang dibuat dalam kamar

Tuesday, March 1, 2011

TAHUKAH ANDA TENTANG DEWAN NEGARA?

ewan Negara terdiri daripada seramai 70 orang ahli. Dewan Negeri terbahagi kepada dua kategori seperti berikut:-
  • 26 ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri (setiap negeri diwakili oleh dua orang ahli).
  • 44 ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putra Jaya.

    Untuk layak menjadi ahli, seseorang calon hendaklah:-

    * warganegara Malaysia
    * tidak kurang dari 30 tahun
    * waras fikiran
    * bukan seorang muflis
    * tidak mempunyai rekod jenayah

    Jawatan itu hendaklah dipegang selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh disambung sebanyak satu penggal lagi, sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat negeri.

    Kedudukan Dewan Negara tidak berubah dengan pembubaran Parlimen. Ahli-ahli Dewan Negara dilantik atau dipilih dari kalangan mereka yang menyumbang khidmat yang cemerlang atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing, dalam perdagangan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau merupakan wakil kumpulan bangsa minoriti ataupun berkebolehan menjaga kepentingan orang-orang asli.

    Setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahan Perlembagaan.

TAHUKAH ANDA TENTANG DEWAN RAKYAT?

Dewan Rakyat mempunyai seramai 222 ahli, dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya. Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya. Setiap ahli Dewan Rakyat memegang jawatan selama lima tahun, dan selepas itu pilihan raya yang baru akan diadakan.
Kelayakan menjadi ahli adalah seperti berikut:-
  • Warga negara Malaysia
  • Tidak kurang dari 21 tahun
  • Waras fikiran
  • Bukan seorang muflis
  • Tidak mempunyai rekod jenayah
  • Seorang ahli tidak boleh memegang jawatan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam satu masa.
Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Parlimen, setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Negara. Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan.

Sumber : http://www.parlimen.gov.my/index.php?uweb=dr


Monday, February 21, 2011

MENGAPA AHLI PARLIMEN HILANG KERUSI ?

HILANG KELAYAKAN MENJADI AHLI DEWAN RAKYAT ATAU AHLI DEWAN NEGARA

Seseorang ahli Dewan Rakyat atau ahli Dewan Negara akan hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen jika beliau:
(a) diisytiharkan muflis
(b) memegang sesuatu jawatan berpendapatan
(c) didapati tidak sempurna akal
(d) dihukum penjara satu tahun penjara atau lebih atau didenda RM2 000 ke atas dan tidak diampuni
(e) menjadi warganegara asing
(f) tidak menghadiri persidangan dewan selama enam bulan berturut-turut tanpa mendapat kebenaran daripada Speaker
(g) tidak mengangkat sumpah dalam masa tiga bulan selepas dipilih atau dilantik
(h) tidak menyerahkan akaun perbelanjaan kempen pilihanraya (bagi ahli Dewan Rakyat sahaja) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dalam tempoh 31 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan.

Monday, October 11, 2010

KONSEP 1 MALAYSIA (8 NILAI)

8 Nilai dalam Konsep 1 Malaysia

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. BUDAYA KECEMERLANGAN

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.
Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.
Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.
Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.
Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

2. KETABAHAN

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.
Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.
Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.
Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.
Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.
Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya
Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan.
Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

3. RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.
Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.
Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.
Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.
Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.
Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

4. PENERIMAAN

Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.
Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.
Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.
Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.
Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.

5. KESETIAAN

Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.
Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.
Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.

Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.
Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.
Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.

Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.
Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.
Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.
Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

6. MERITOKRASI

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.

Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut.

Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.
Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.
Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

7. PENDIDIKAN

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.

Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.

Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.

Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.
Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.

8. INTEGRITI

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.
Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.
Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.
Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan
Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.

Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

(Sumber :- pmr.penerangan.gov.my)

Monday, July 5, 2010

2 HAKIM SYARIE WANITA PERTAMA MALAYSIA

KUANTAN: 4 Julai 2010 - Dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak, menyifatkan pelantikan mereka sebagai satu pengiktirafan serta mengangkat martabat wanita dalam kerjaya yang banyak dimonopoli lelaki.

Pengumuman pelantikan mereka dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berkata buat julung kalinya kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin melantik mereka Mei lalu, dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Sambil memanjatkan rasa syukur, Suraya dan Rafidah turut menganggap pelantikan itu sebagai satu amanah selain membuktikan peranan dan sumbangan wanita sememangnya dihargai. “Saya anggap ini tugas besar dan akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan adil. Malah pengiktirafan ini maka lebih ramai lagi wanita akan mampu memegang jawatan yang selalunya dikuasai lelaki,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Syariah Kebangsaan Ke-12, di Bukit Gambang Resort City, di sini, semalam.

Suraya, 31, anak kelahiran Sabah, bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM.
Sementara itu, Rafidah, 39, yang berasal dari Pulau Pinang, menyuarakan penghargaannya kepada JKSM.

“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada JKSM. Pelantikan ini juga bukti untuk mengubah persepsi masyarakat yang menunjukkan wanita juga mampu menggalas tugas dipikul golongan lelaki,” kata Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie dan Penolong Pengarah Latihan JKSM itu.
Terdahulu, dalam ucapan yang dibacakan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zain, Najib berkata, pelantikan dua wanita itu turut menolak persepsi segelintir masyarakat yang sengaja menuduh Mahkamah Syariah mengamalkan diskriminasi gender sehingga menidakkan hak wanita dan kanak-kanak.

“Pada hari ini ramai wanita seolah merasakan diri mereka teraniaya dan tidak mendapat keadilan yang sewajarnya disebabkan kelewatan penyelesaian kes. Justeru, perlantikan dua Hakim Syarie ini pada pertengahan Mei lalu dapat merungkai permasalahan berkenaan,” katanya.

Najib berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM15 juta kepada Bahagian Sokongan Keluarga JKSM bagi membantu pihak yang teraniaya akibat kegagalan suami melaksanakan perintah nafkah oleh Mahkamah Syariah yang bertujuan bagi usaha transformasi institusi perundangan syariah di negara ini.

“Saya berharap setiap pegawai syariah sentiasa proaktif berijtihad dalam pentafsiran hukum syariah yang fleksibel dalam mengembalikan keyakinan umum ke atas keunggulan undang-undang Islam tanpa batasan bangsa atau jantina,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan turut bersetuju melanjutkan had umur Ketua Hakim dari umur 58 tahun kepada 66 tahun sebagai menyempurnakan tuntutan transformasi selain sedia membantu bagi memberi peluang pegawai syariah melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Phd).