PENGAJIAN AM KERTAS 1 : KENEGARAAN

Kertas 1 meliputi Konsep Kenegaraan, Perlembagaan, Perlembagaan Malaysia, Sistem Pentadbiran Malaysia, Sistem Perundangan Malaysia, Sistem Kehakiman Malaysia, Dasar Dalam Negara, Dasar Luar Negara, Isu Semasa dan Penyelesaian Masalah.

Sunday, August 30, 2009

DASAR LUAR MALAYSIA : Definisi & Objektif

Definisi dan Objektif Dasar Luar Malaysia

Dasar luar negara boleh dianggap sebagai instrumen atau alat yang diperlukan oleh sesebuah negara untuk berhubung, berinteraksi dengan sebuah negara yang lain, baik yang berjiran dengannya atau yang berada jauh dengannya. Melalui dasar luar negara, kita menyatakan pendirian kita berhubung dengan sesuatu isu yang berlaku di sempadan negara kita mahupun negara lain yang jauh dari segi kedudukan geografi dalam hubungan antarabangsa. Dalam sistem perhubungan antarabangsa, pembentukan dasar luar negara juga perlu mengambil kira dasar luar atau sikap negara-negara lain. Dasar luar boleh berubah mengikut senario politik antarabangsa. Tetapi, apa yang penting ialah dasar luar perlu mengutamakan kepentingan negara dan juga keselamatan, kemakmuran penduduknya. Ringkasnya, terdapat beberapa pendekatan yang boleh digunakan dalam membentuk dasar luar sesebuah negara:

(i) Dasar luar boleh bersifat berkecuali dan tidak mengikat mana-mana negara dalam membuat keputusan walaupun menghadapi tekanan dari negara-negara atau kuasa-kuasa besar yang lain.
(ii) Dasar luar juga boleh berbentuk pemencilan atau pengasingan seperti yang diamalkan oleh sesetengah Negara yang mengambil pendirian menyisihkan negara itu daripada pergolakan yang berlaku di luar.
(iii) Dasar luar juga boleh mencerminkan sikap memihak kepada negara atau kuasa besar yang mempunyai persamaan dengan negara tersebut dari segi amalan dan ideologi yang diamalkan. Dasar ini jelas ketara sewaktu berlakunya era Perang Dingin antara Rusia yang mengamalkan faham komunis dan Amerika Syarikat yang mengamalkan faham demokrasi/kapitalis. Negara-
negara yang menganuti ideologi komunis akan memihak kepada komunis dan sebaliknya, negara yang mengamalkan demokrasi/kapitalis, akan berkiblat kepada Amerika.

No comments:

Post a Comment