PENGAJIAN AM KERTAS 1 : KENEGARAAN

Kertas 1 meliputi Konsep Kenegaraan, Perlembagaan, Perlembagaan Malaysia, Sistem Pentadbiran Malaysia, Sistem Perundangan Malaysia, Sistem Kehakiman Malaysia, Dasar Dalam Negara, Dasar Luar Negara, Isu Semasa dan Penyelesaian Masalah.

Sunday, August 30, 2009

DASAR LUAR MALAYSIA : PBB

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

PBB telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1945, iaitu selepas Perang Dunia Kedua apabila Liga Bangsa dibubarkan setelah gagal menghalang berlakunya Perang Dunia Kedua. Ibu pejabat asalnya di San Francisco tetapi pada tahun 1946 berpindah ke New York. Pada awal penubuhannya, PBB dianggotai oleh 51 buah negara sahaja tetapi sehingga tahun 2002 keanggotaanya meningkat kepada 189 buah negara. Malaysia telah menjadi ahli PBB pada tahun 1957, setelah negara kita mencapai kemerdekaan.

Negara anggota PBB harus akur dengan Piagam PBB, iaitu satu perjanjian antarabangsa yang menggalurkan prinsip-prinsip asas hubungan antarabangsa. Terdapat empat matlamat Piagam PBB. Pertama, menjamin keamanan dan keselamatan dunia. Kedua, menggalakkan hubungan berbaik-baik antara negara anggota. Ketiga, berkerjasama dalam menyelesaikan masalah antarabangsa dan melindungi hak asasi manusia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Keempat, menjadi pusat bagi mengharmonikan tindakan negara-negara anggota.

Malaysia telah memainkan peranan penting dalam PBB semasa membantu menyelesaikan konflik antarabangsa. Sejak tahun 1960, Malaysia telah dipilih untuk menyertai pasukan pendamai di bawah panji-panji PBB untuk menamatkan perang saudara di Congo (kini dikenali sebagai Zaire). Pada tahun 1989, sekali lagi Malaysia dipilih untuk mewakili pasukan pengamanan PBB ke Namibia bagi membantu negara itu mncapai kemerdekaan. Pada tahun 1990-an, Malaysia telah menghantar pasukan pemerhati ke sempadan Iran – Iraq dan Kampuchea serta menghantar pasukan pengamanan ke Bosnia.

Malaysia juga lantang bersuara di PBB menentang dasar apartheid di Afrika Selatan. Negara kita juga menyarankan agar Benua Antartika menjadi warisan dunia yang diletakkan di bawah hak milik atau kuasa semua negara.

Dari segi ekonomi, Malaysia juga menjadi ahli Bank Dunia, iaitu bank antarabangsa yang ditubuhkan oleh PBB pada bulan Disember 1945. Matlamat penubuhan Bank Dunia ini adalah untuk membantu negara-negara ahli yang sedang membangun terutama dari segi kewangan dalam menyusun semula dan membangunkan ekonomi negara-negara tersebut. Malaysia sebagai ahli memperoleh faedah dari segi kemasukan pelabur-pelabur asing dan ini diharapkan dapat membasmi kemiskinan di luar bandar selain menyediakan peluang pekerjaan. Malaysia telah menggunakan bantuan daripada Bank Dunia untuk menjayakan rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan membangunkan prasarana pendidikan dan penyelidikan.

Malaysia juga mengambil pendirian teguh terhadap usaha-usaha memerangi gejala penyalahgunaan dadah. Hasil daripada usul Malaysia, satu persidangan antarabangsa diadakan di Vienna (Austria) pada bulan Jun 1987 dan Perdana Menteri Malaysia telah menjadi Yang Dipertua persidangan tersebut. Di samping itu, Malaysia juga telah bekerjasama dan menyertai beberapa agensi di bawah PBB. Contohnya, kerjasama dalam bidang pengeluaran makanan di bawah agensi Pertubuhan Makanan dan Pertanian atau Food and Algricultur Organization (FAO), kerjasama dalam bidang kesihatan dan perubatan di bawah Pertubuhan Kesihatan Dunia atau World Health Organization (WHO), dan juga kerjasama dalam bidang sains dan teknologi di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations for Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

Malaysia juga pernah dipilih menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1965, 1989 dan 1999. wakl Malaysia ke PBB, Tan Sri Razali Ismail menjadi Pengerusi Perhimpunan Agung PBB dan beliau dilantik sebagai wakil khas PBB untuk menyelesaikan konflik politik negara Myanmar. Malaysia juga berpendirian tegas dalam mendesak PBB menjalankan usaha menyelesaikan masalah Palestin dengan menganjurkan Persidangan Antarabangsa tentang Palestin di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment