PENGAJIAN AM KERTAS 1 : KENEGARAAN

Kertas 1 meliputi Konsep Kenegaraan, Perlembagaan, Perlembagaan Malaysia, Sistem Pentadbiran Malaysia, Sistem Perundangan Malaysia, Sistem Kehakiman Malaysia, Dasar Dalam Negara, Dasar Luar Negara, Isu Semasa dan Penyelesaian Masalah.

Sunday, August 30, 2009

DASAR LUAR MALAYSIA : Perkembangan Tahap 3

PERKEMBANGAN DASAR LUAR MALAYSIA

Tahap Ketiga

Dasar luar Malaysia pada tahap ini telah mengekalkan dasar-dasar tahap kedua tetapi memberikan penekanan kepada kepentingan ekonomi. Keepntingan ini adalah berkaitan dengan isu-isu perdagangan, pelaburan dan pembangunan terutama di kalangan negara membangun. Dalam usaha mencapai matlamat dasar tersebut, Malaysia telah mengadakan hubungan yang lebih erat dengan negara-negara ASEAN seperti menyelesaikan krisis Vietnam dan Kampuchea.

Di samping itu, Dasar Pandang ke Timur telah diperkenalkan pada tahun 1982 dengan menggunakan Jepun dan Korea Selatan sebagai model bagi membangunkan negara Malaysia. Dasar ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil dan menerima pakai nilai-nilai yang baik seperti semangat mencintai negara, kesungguhan dalam pekerjaan dan etika pengurusan kerja yang baik.

Malaysia juga telah mempertingkatkan hubungan dua hala dengan negara-negara lain menerusi lawatan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad ke negara Afrika, Amerika Selatan, Caribbean dan Pasifik Selatan. Dalam setiap siri lawatannya, misi perdagangan Malaysia akan turut serta dan menandatangani perjanjian perdagangan dua hala yang menguntungkan kedua-dua belah pihak. Beliau percaya Malaysia bukan sahaja harus menjalin hubungan politik dan perdagangan dengan negara maju malah dengan negara Dunia Ketiga juga.

Berdasarkan tiga tahap berkenaan, didapati dasar luar Malaysia berubah daripada dasar pro-Barat kepada dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan semua negara, serta memberikan penekanan kepada hubungan dua hala yang dapat memantapkan ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment