PENGAJIAN AM KERTAS 1 : KENEGARAAN

Kertas 1 meliputi Konsep Kenegaraan, Perlembagaan, Perlembagaan Malaysia, Sistem Pentadbiran Malaysia, Sistem Perundangan Malaysia, Sistem Kehakiman Malaysia, Dasar Dalam Negara, Dasar Luar Negara, Isu Semasa dan Penyelesaian Masalah.

Tuesday, September 8, 2009

PERLEMBAGAAN MALAYSIA : KEWARGANEGARAAN BAB 1

KEWARGANEGARAAN

Bab 1 - Pemerolehan Kewarganegaraan
Perkara 14. Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.
(1) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:
(a) tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia yang menjadi warganegara Persekutuan
menurut kuasa peruntukan yang terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua; dan
(b) tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana
kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua.
(c) (Dimansuhkan).
(2) (Dimansuhkan).
(3) (Dimansuhkan).

Perkara 15. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara).
(1) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara, maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika perkahwinan itu masih wujud dan suaminya itu seorang warganegara pada permulaan bulan Oktober 1962, atau jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan—
(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan sepanjang tempoh dua tahun sebelum tarikh
permohonan itu dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap; dan
(b) bahawa dia berkelakuan baik.
(2) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka Kerajaan Persekutuan boleh menyebabkan orang itu didaftarkan sebagai warganegara jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapanya sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara.
(3) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia dilahirkan sebelum permulaan bulan Oktober 1962 dan bapanya sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara dan juga seorang warganegara pada permulaan bulan itu (jika hidup pada masa itu), dan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa orang itu biasanya
bermastautin di Persekutuan dan berkelakuan baik.
(4) Bagi maksud Fasal (1), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.
(5) Sebutan dalam Fasal (1) mengenai perempuan bersuami ialah sebutan mengenai perempuan yang perkahwinannya telah didaftarkan mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Persekutuan, termasuklah mana-mana undang-undang sedemikian yang berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka, atau mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak: Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai jika perempuan itu memohon supaya didaftarkan sebagai warganegara sebelum permulaan bulan September 1965, atau apa-apa tarikh kemudiannya sebagaimana yang ditetapkan melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, dan jika pada tarikh permohonan itu dia biasanya bermastautin di Negeri
Sabah dan Sarawak.
(6) (Dimansuhkan).

Perkara 15A. Kuasa khas untuk mendaftarkan kanak-kanak.
Tertakluk kepada Perkara 18, Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun didaftarkan sebagai warganegara.

Perkara 16. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka).
Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan—
(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan dalam masa tujuh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada lima tahun;
(b) bahawa dia berniat hendak berbuat demikian secara tetap;
(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu.

Perkara 16A. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia).
Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan sebelum bulan September 1971 oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang biasanya bermastautin di Negeri Sabah atau Sarawak pada Hari Malaysia, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan—
(a) bahawa dia telah bermastautin sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu dan bermastautin selepas Hari Malaysia di Persekutuan selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada tujuh tahun dalam masa sepuluh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu;
(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan;
(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bahasa Melayu atau bahasa
Inggeris atau, dalam hal pemohon yang biasanya bermastautin di Sarawak, mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa ibunda yang digunakan pada masa ini di Sarawak, kecuali jika permohonan itu dibuat sebelum bulan September 1965 dan pemohon telah mencapai umur empat puluh lima tahun pada tarikh permohonan itu.

Perkara 17. (Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Persekutuan pada hari Merdeka)-Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).

Perkara 18. Peruntukan am tentang pendaftaran.
(1) Tiada seorang pun yang berumur lapan belas tahun atau lebih boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.
(2) Kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan, tiada seorang pun yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perlembagaan ini atau yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraan persekutuan atau kewarganegaraan bagi Persekutuan sebelum Hari Merdeka di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini.
(3) Seseorang yang didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini menjadi warganegara melalui pendaftaran mulai dari hari dia didaftarkan sedemikian.
(4) (Dimansuhkan).

Perkara 19. Kewarganegaraan melalui penaturalisasian.
(1) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati—
(a) bahawa—
(i) dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak
berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;
(ii) (Dimansuhkan);
(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.
(2) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati—
(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat
hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;
(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.
(3) Tempoh kemastautinan di Persekutuan atau bahagiannya yang berkaitan yang dikehendaki bagi pemberian suatu perakuan naturalisasi ialah tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada sepuluh tahun dalam masa dua belas tahun sebaik sebelum tarikh permohonan bagi perakuan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu.
(4) Bagi maksud Fasal (1) dan (2), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan; dan bagi maksud Fasal (2), kemastautinan di Singapura sebelum Hari Malaysia atau dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan kemastautinan di Singapura selepas Hari Malaysia hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.
(5) Seseorang yang diberi perakuan naturalisasi menjadi warganegara melalui penaturalisasian mulai dari tarikh perakuan itu diberikan.
(6) (Dimansuhkan).
(7) (Dimansuhkan).
(8) (Dimansuhkan).
(9) Tiada perakuan naturalisasi boleh diberikan kepada mana-mana orang sehinggalah dia telah
mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

Perkara 19A. (Pemindahan kewarganegaraan ke Singapura atau dari Singapura Dimansuhkan)
(Dimansuhkan).
Perkara 20. (Naturalisasi bagi anggota-anggota angkatan Persekutuan - Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).
Perkara 21. (Peruntukan am tentang naturalisasi - Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).

Perkara 22. Kewarganegaraan melalui penggabungan wilayah.
Jika mana-mana wilayah baru diterima masuk ke dalam Persekutuan selepas Hari Malaysia menurut Perkara 2, maka Parlimen boleh melalui undang-undang menentukan siapakah orang yang akan menjadi warganegara oleh sebab hubungan mereka dengan wilayah itu dan tarikh atau tarikh-tarikh mereka itu akan menjadi warganegara.

1 comment:

  1. cg, kalau anak tu lahir dalam kapal terbang di perairan antarabangsa macam mana pulak ?

    ReplyDelete